KELANTAN ada hajat besar apabila bertemu pendatang baharu Liga Super, Melaka United pada perlawanan pembuka tirai di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Skuad kendalian Zahasmi Ismail itu sudah pasti mahu bermula dengan langkah kanan apatah lagi ia merupakan aksi sulung kedua-dua pasukan selain mempunyai kelebihan bermain di gelanggang keramat mereka itu.

Walaupun berdepan pelbagai masalah termasuk isu pengguguran dua pemain import beberapa hari lalu, namun tidak sedikit pun menghalang keghairahan The Red Warriors  mengutip mata penuh ketika berdepan skuad bimbingan Eric Williams itu.

Kemenangan ke atas skuad Hang Tuah bukan sahaja bakal mencetus inspirasi kepada pemain pasukan sendiri itu malah mampu mengembalikan semula keyakinan penyokong setia mereka yang terhakis sebelum ini.  

Kali terakhir, kedua-dua pasukan bertemu dalam kempen Liga Perdana musim 2008 yang menyaksikan Kelantan menang dua kali iaitu 4-1 di Kota Bharu dan 3-1 di tempat lawan.

Pening pilih pemain

BEKAS jurulatih kelab bola sepak Kementerian Kewangan (MOF) FC itu dijangka tidak berdepan masalah untuk menamakan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat selaku pilihan utama mengawal kubu akhir pasukannya.

Namun apa yang menarik, pengendali berusia 50 tahun itu mungkin sedikit ‘pening’ memikirkan rangkaian benteng pertahanan mereka ketika begitu ramai anak didiknya berusaha keras memikat hatinya.

Ketika ini, beberapa nama seperti Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohd Farisham Ismail, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Qayyum Marjoni Sabil, Mohd Abd Aziz Ismail selain bekas kapten Terengganu, Mohd Hasmizan Kamarodin dilihat antara yang menjadi pilihan untuk merebut posisi tersebut.

Zahasmi perlu membuat pilihan tepat kerana Melaka United bakal menampilkan penjaring terbanyak Liga Premier, Ilija Spasojevic yang bakal digandingkan buat pertama kali bersama kuda tua, Mohd Amri Yahyah selain bintang Argentina, Sergio Aguero selaku penggempur utama untuk merobek gawang Kelantan.

Namun begitu, kehadiran import baharu dari Gambia, Mamadou Danso mampu memperkasakan benteng pertahanan Kelantan dalam usaha menyekat gandingan Mohd Amri-Spasojevic, sepanjang aksi 90 minit itu nanti.

Pertembungan enjin tengah

ZAHASMI dijangka menamakan kapten prolifik, Mohd Badhri Radzi, Morgaro Gomis, Mohd Norfarhan Muhammad dan Hattaphon Bun An selaku penggerak enjin tengah pasukannya.

Mohd Badhri atau Piya akan memikul peranan selaku perancang utama manakala Gomis seperti biasa kelibatnya sering kali turun naik membantu benteng pertahanan setiap kali diasak pasukan lawan.

Namun begitu ia bakal menyaksikan pertembungan sengit di posisi berkenaan memandangkan Melaka United mungkin mempertaruhkan pemain import kacukan Iran-Sweden, Omid Nazari, Ahmad Ezrie Shafizee Sazali, R Surendran dan Ahmad Khuzaimie Piee.

Persoalan sukar dijawab

PERSOALAN siapa yang akan mengetuai jentera penggempur Kelantan mungkin sukar dijawab? Zahasmi bakal mengambil pendekatan lebih berhati-hati untuk menamakan barisan penyerang yang dilihat tumpul dalam tiga aksi persahabatan pra musim di ibu negara, baru-baru ini.

Namun setakat ini, bintang import Lubnan, Mohammed Ghaddar dilihat calon paling sesuai sekiranya pasukan itu belum bersedia menurunkan seorang lagi penyerang import baharu, Alessandro Celin, pada pertemuan ini.

Indra Putra Mahayuddin juga kemungkinan besar diletakkan selaku penyerang sokongan sambil Mohd Khairul Izuan Rosli dan pemain muda, Mohd Danial Ashraf Abdullah, boleh diletakkan di bangku simpanan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.
  • LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.