KEDAH mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan lima kemenangan dan dua seri di dalam usaha untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain tempatan dan juga import baharu yang dibawa masuk.

Tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang Hijau Kuning apabila mengekalkan 90 peratus pemain utama pada musim lalu dan hanya dua pemain import dan dua pemain tempatan baharu yang mewarnai skuad Tan Cheng Hoe musim ini.

Kehadiran dua pemain tempatan berpengalaman iaitu Akram Mahinan, 23, dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Fitri Omar, 31, dari Pulau Pinang dilihat mampu menampung dua posisi penting iaitu tengah dan pertahanan malah menjadi alternatif terbaik untuk menampung kekosongan pemain utama sedia ada.

Selain itu, pencarian dua pemain import juga dilakukan cukup teliti oleh pengurusan dan jurulatih Kedah apabila lebih lima pemain import diuji dan akhirnya mereka mengikat penyerang Denmark, Ken Ilso Larsen, 31, bagi posisi serangan.

Pengalaman luas beraksi di Liga Denmark, Belanda, Jerman, China dan Singapura menjadi kelebihannya termasuk rekod tahun lalu dengan penampilan 41 perlawanan dengan 36 gol bersama Home United di Liga Singapura.

Bagi posisi pertahanan import pula, bekas pertahanan Emirates Club di Liga Australia, Zachary Michael Anderson, 25, bakal memperkukuhkan benteng Hijau Kuning.

Zachary hadir selepas pertahanan import sebelumnya dari Korea Selatan, Jae Hoon gagal didaftarkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan walaupun menunjukkan prestasi meyakinkan pada perlawanan ujian bersama Kedah dan menepati kehendak barisan jurulatih.

Pengalaman Zachary yang turut bersaing di pentas Liga Juara-Juara Asia sebelum ini dilihat mampu digunakan untuk membantu Hijau Kuning menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017.

Selain itu, pemain Australia ini juga dilihat mempunyai kelebihan membantu jentera serangan menerusi ketinggiannya dan menepati falsafah bola sepak Cheng Hoe yang mahu seorang pemain bola sepak boleh beraksi lebih daripada satu posisi.

Sementara itu, Cheng Hoe juga tidak perlu risau dengan pendedahan yang kini dimiliki oleh 16 pemainnya berumur bawah 25 tahun kerana kebanyakan sudah mencapai pengalaman tertinggi di pentas domestik iaitu mara dua kali berturut-turut pada final

Piala Malaysia 2015 dan 2016.

Pada musim lalu mereka berjaya berada di tangga ketiga Liga Super selepas kembali dari Liga Perdana, mara ke separuh akhir Piala FA dan muncul juara Piala Malaysia.

Faktor beliau yang sudah beberapa tahun bersama pemain berkenaan pastinya akan menjadi antara kekuatan pasukan untuk mencabar kejuaraan bagi musim 2017 pula.

Cheng Hoe dalam reaksinya berkata, tumpuan Lang Merah kini terarah kepada aksi pembukaan Liga Super dan Piala Sumbangsih 2017 menentang JDT di Larkin pada 20 Januari ini.

“Walaupun Kedah tidak mengadakan perlawanan ujian menentang pasukan utama namun di sebaliknya ada banyak perkara positif yang masih dapat dilihat terutamanya persefahaman pemain yang semakin meningkat.

Perkara ini yang mahu kita lihat dan mahu kekalkan sebelum saingan membuka tirai pada 20 Januari ini dengan menentang JDT bagi perebutan Piala Sumbangsih,” katanya sebelum ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IBARAT sirih pulang ke gagang. Mungkin itulah bidalan paling tepat bagi menggambarkan kepulangan pemain kebangsaan, Mohd Hafiz Kamal untuk beraksi bersama Perak bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2017.
  • PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan yakin peminat bola sepak seluruh dunia akan memilih Mohd Faiz Subri sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 pada 9 Januari depan.
  • KALENDAR Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh bermula esok hingga 18 Disember ini dengan penyertaan akademi-akademi ternama dunia seperti Sporting CP, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.
  • PASUKAN Axis Puchong Frueza muncul juara Piala Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas menewaskan TOT United dengan jaringan penalti 3-2 di Putrajaya, baru-baru ini.