SEBELUM menjelangnya sepak bola Liga Malaysia (Liga-M) 2017 yang bakal menyingkap tirainya pada 20 Januari ini, beberapa inisiatif dilakukan sekumpulan tegar penyokong Selangor dalam usaha memastikan kerancakan bahang pertandingan terus dirasai.

Bertempat di Kedai Al Iwan Meru, Klang, hampir 100 penyokong setia Merah Kuning berkumpul di sini dalam satu program yang dinamakan Himpunan Koleksi Jersi Selangor Darul Ehsan.

Penganjur program yang juga pemilik kedai Al Iwan, Yusrizuan Mokhlas, 34 berkata, idea itu tercetus hasil daripada perbincangan dengan group WhatsApp yang memiliki hobi dan minat yang sama.

“Kedai saya jadi platform untuk rakan dan peminat berkumpul dan saling bertukar pendapat. Ini juga kali pertama saya buat program khusus untuk jersi Selangor bersama kawan-kawan. 

“Ada antara pengumpul jersi dari sekitar Meru, juga pelanggan tetap dan terdapat wakil kelab penyokong yang hadir.

“Kami memulakan gerak kerja untuk program ini sejak dua minggu lalu dan ada yang kita tulis di laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan juga dalam grup bola sepak,” katanya ketika ditemui Ultras Sinar.

Turut hadir, legenda pemain Selangor, Malek Rahman dan Abdul Mutalib Adam.

Yusrizuan berkata, pengumpul ini ada yang datang dari Gombak, Putrajaya dan kebanyakan dari Shah Alam.

Katanya lagi, antara koleksi jersi yang dipamerkan adalah jersi tahun 1982, 1985, 1986 serta era 90-an.

“Ramai pengumpul memburu jersi match worn pemain kerana ia cukup berharga dan itu membuatkan mereka geram untuk memilikinya. Kita juga ada jersi jenis original dan repro.

“Paling susah nak dapat adalah jersi ori tahun  80-an. Dan saya dengar ada pengumpul menawarkan RM1,500 untuk membeli jersi 1985 yang cukup rare dan ada nilai sentimental,” katanya akui sambutan cukup menggalakkan diterima daripada peminat dan orang ramai.

Sementara itu, salah seorang pengumpul 

jersi dari Klang, Muhamad Azriq Barzam, 26, berkata, jersi Selangor tajaan Talam pada tahun 2004 disifatkan cukup unik.

“Sebab ia zaman kejatuhan pasukan dan orang tak nak datang ke stadium. Masa tu, aksi terakhir Azman Adnan dan Amri Yahyah pun ada. Walaupun tahun 2002 menang kejuaraan tapi terus merudum sebelum bangkit dengan gelaran tiga piala (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) pada 2005,” katanya.

Tambahnya, ramai pengumpul cari jersi tersebut kerana harganya dikhabarkan mencecah RM1,500 hingga RM2,000 dan tidak banyak dikeluarkan oleh pembekal pada zaman itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.