KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017 yang disifatkan sengit dan mencabar.

Skuad Harimau Selatan akan mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih selain dua piala penting iaitu Liga Super dan Piala FA.

Pada masa sama, kekecewaan selepas gagal mempertahankan Piala AFC turut dijadikan azimat buat JDT melakukan yang terbaik jika berada dalam pertandingan berkenaan.

Bagaimanapun, tumpuan skuad bimbingan Mario Gomez terarah kepada usaha melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan perlawanan pertama bermula pada penghujung Januari depan.

Pasukan yang menjuarai Liga Super tiga musim berturut-turut ini dilihat semakin giat melakukan persiapan sejak hari pertama pasukan kembali berlatih.

Selain itu, seperti kebiasaan, skuad Harimau Selatan merekrut beberapa muka baharu untuk diserapkan ke dalam pasukan bagi berdepan dengan cabaran domestik dan antarabangsa.

Umumnya, peminat sukan bola sepak tanah air sudah mengetahui langkah JDT membawa masuk beberapa pemain terkemuka negara bagi memperkuatkan jentera pasukan.

Penyerang skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menjadi pemain terbaharu yang menyertai keluarga JDT selepas Nazmi Faiz Mansor, Syahrul Azwari Ibrahim, Haziq Nadzli dan Muhammad Sapawi Rasid.

Kesemua pemain terbabit adalah anak tempatan yang dilihat mampu memberi impak kepada pasukan serta memantapkan lagi taktikal dan corak permainan diterapkan Gomez.

Meskipun begitu, masih belum ada khabar angin yang terkait dengan JDT melibatkan pemain kacukan untuk direkrut pengurusan kelab berkenaan.

Hanya nama pemain kacukan dari JDT II iaitu Darren Lok sahaja yang disebut-sebut bakal dinaikkan pangkat ke JDT namun ia belum dapat dipastikan lagi.

Apa yang jelas, pelepasan beberapa tonggak JDT seperti Nazrin Nawi, Jasazrin Jamaluddin dan Amri Yahyah membuka ‘pintu’ buat pemain lain yang berpotensi direkrut oleh JDT.

Bagaimanapun, menurut JOHOR Southern Tigers, konsep pemilihan pemain luar negara dan pemain tempatan terletak kepada keputusan bersama iaitu ketua jurulatih, pengarah sukan dan pemilik JDT.

Turut dijelaskan bahawa kebiasaannya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menyampaikan kepada scout dan ejen berkenaan pemain mana yang diminati olehnya.

Kemudian, pemain berkenaan akan dianalisis terlebih dahulu sama ada sesuai dengan falsafah JDT atau tidak.

Selepas itu, scout dan ejen akan memberikan butiran pemain kepada pengarah sukan Harimau Selatan dan kemudiannya memaklumkan kepada ketua jurulatih sama ada bersetuju atau tidak dengan pemain tersebut.

Untuk saingan peringkat domestik dan antarabangsa musim depan, strategi serta beberapa nama baharu dalam barisan pemain JDT akan menyaksikan perubahan corak taktikal secara keseluruhan buat pasukan bimbingan Gomez.

Kapten JDT, Shafiq Rahim turut akui dirinya dan rakan sepasukan sudah tidak sabar untuk memulakan musim baharu kerana skuad Harimau Selatan telah mengakhiri musim ini, depan penuh gemilang.

“Perancangan yang teliti juga telah disediakan oleh barisan pengurusan dan jurulatih, oleh itu kami perlu pantas menyesuaikan diri dengan corak latihan yang berbeza dari sebelum ini bersama-sama dengan rakan sepasukan yang baru,” katanya.

Untuk rekod bagi musim ini, JDT II memiliki beberapa pemain kacukan antaranya Samuel Somerville, Nicholas Swirad dan Darren Lok, Shazalee Ramlee, Curran Ferns dan Stuart Wark selain Daniel Ting dan Kevin Gunter yang dipinjam ke Negeri Sembilan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.
  • LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.