'NAIB juara Piala AFF 2014 adalah pencapaian tertinggi terkini Harimau Malaya selepas menjuarainya buat pertama kali pada 2010.

Masih dibuai dengan kenangan manis final Bukit Jalil walaupun menang 3-2 dengan Thailand, kita tewas secara agregat 3-4.

Kini 2016, Piala Dunia Asean datang lagi.

Bersedia atau tidak, Malaysia harus menempuhnya.

Sebagai seorang penyokong yang sayangkan bola sepak negara, sudah pastinya kita mahukan kejayaan.

Tapi bolehkah kita mengimpikan kejayaan gemilang apabila usaha tak setimpal angan-angan?

Untuk AFF 2016 kali ini, saya lebih suka jika Harimau Malaya menggunakan tenaga muda bagi diberikan pendedahan untuk

pertandingan besar seperti ini supaya mereka biasa dengan atmosfera perlawanan atau pertandingan berkapasiti tinggi.

Kita pernah juara, naib juara dan sekadar separuh akhir (2012), jadi sebaiknya medan Piala AFF kali ini digunakan untuk pemain

muda yang lebih segar agar mereka lebih matang menghadapi perlawanan sebenar.

Perlu diingat, pemain muda menjadi asas membentuk pasukan ampuh bagi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia beberapa tahun akan datang.

Sebaiknya, di sinilah titik mulanya. Korbankan AFF 2016 pun tak mengapa, kerana, paling jauh Harimau Malaya boleh pergi pun adalah sebagai naib juara.

Tidak keterlaluan saya katakan seperti itu kerana masakan kita boleh menundukkan Thailand sekarang ini dengan pemain yang sama sedangkan Thailand mendapat sparing yang hebat sebagai persediaan mereka untuk AFF.

Mereka baru selesai bertemu Australia dalam Kelayakan Piala Dunia dan berjaya mengikat keputusan 2-2.

Perasaan saya mengatakan untuk Piala AFF kali ini, pasukan negara tidak melepasi peringkat kumpulan.

Namun saya berharap rasa itu salah. Saya mahukan kejayaan setinggi mungkin bagi pasukan negara dalam setiap kejohanan.

Saya suka melihat persaraan pemain kebangsaan tahun ini dapat membuka mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melahirkan lagi lebih ramai pemain yang boleh berfungsi sama baik dan seharusnya lebih baik dari mereka sebelum ini.

Tapi jika irama yang sama masih dialunkan oleh FAM, sesuai sangatlah nama Harimau Malaya ditukar kepada Harimau Malaysia kerana Harimau Malaya adalah untuk pasukan yang kuat dan digeruni.

Jadi jika masih menggunakan nama Harimau Malaya ianya ibarat indah khabar dari rupa kerana tiada pasukan yang akan gerun.

Walaupun begitu, perasaan sayang pada pasukan kebangsaan takkan pudar, cuma sampai bila kita nak lihat pasukan kebangsaan hanya di level Asean?

Bangkitlah! bangkitlah pemain, bangkitlah penyokong, berubahlah FAM! Besar harapan kita untuk melihat satu perubahan yang besar dalam tampuk kepimpinan FAM serta struktur organisasinya dalam pemilihan akan datang.

Kerana sebelum menambah aksesori kenderaan, lebih baik perbaiki enjinnya dahulu apabila dengan organisasi yang baharu, sistem yang baharu dapat dipraktikkan.

Buat penyokong Malaysia, teruslah sokong pasukan bolasepak kebangsaan dan jangan bertenang dengan situasi bola sepak kebangsaan sekarang.

Jika kita tak memulakan sekarang, sampai bila-bila pun nama Malaysia takkan terukir di peta bolasepak Asia dan dunia.

Buat rakan yang masih lagi bersama menghadapi pertuduhan, tenang dan sabarlah menghadapinya. Sesungguhnya ini adalah sebahagian dari perjalanan kita ke pentas Asia dan dunia. #JANGANPERNAHPATAHHATI