MENGENANG kegagalan Malaysia pada kempen Piala AFF 2016 sambil mendengar lagu popular Sakitnya Tuh Di Sini dendangan Cita Citata, menambahkan lagi rasa sakit hati terhadap skuad Harimau Malaysia.

Ramai peminat beranggapan skuad kali ini tidak bersedia ke Myanmar, malah ada juga menyalahkan keadaan cuaca panas menjadi faktor utama anak buah Datuk Ong Kim Swee hilang punca di bumi Yangon.

Apa pun alasan dan kisah di sebalik kegagalan Malaysia melepasi peringkat Kumpulan B, persembahan juara edisi 2010 itu pada kempen kali ini amat mengecewakan.

HILANG TARING, HILANG BELANG

EPISOD malang menyelubungi Harimau Malaysia di Myanmar bagaikan sudah dijangka peminat fanatik tempatan.

Petanda awal Malaysia bergelut untuk melepasi saingan peringkat kumpulan dapat dilihat ketika aksi pembukaan Kumpulan B bertemu Kemboja.

Anak buah Kim Swee dipaksa bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-2.

Ada yang mengandaikan Malaysia bernasib baik untuk meraih tiga mata.

Apa pun, aksi pemain negara sepanjang peringkat kumpulan tidak harus diperlekehkan dan kita perlu bersyukur Malaysia tidak dijadikan ‘lauk’ sepanjang kempen berlangsung.

Mereka sudah mencuba sehabis baik untuk mencipta kegemilangan di Yangon.

Apa yang pasti, Kim Swee perlu memikirkan sesuatu bagi mengatasi kerapuhan benteng dan ketumpulan jentera serangan pada masa-masa akan datang.

SALAHKAN DIRI SENDIRI

ADAT pertandingan, ada memang ada kalah. Namun dalam hal ini, pemain harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal melepasi sasaran separuh akhir seperti mana ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Melihat kepada persembahan keseluruhan skuad itu sepanjang kempen Piala AFF kali ini, semangat dan disiplin tinggi pemain ketika di atas padang seharusnya boleh dipuji.

Namun, kelemahan utama yang mungkin dihadapi Harimau Malaysia ketika ini adalah kita masih kekurangan pemain yang memiliki kemahiran individu yang tinggi termasuk daripada aspek kepantasan, keyakinan menggelecek dengan baik dan melakukan penyudah lebih tajam.

Jika melihat kepada Vietnam dan Myanmar, mereka memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain yang pantas dan memiliki kemahiran menggelecek yang dilihat sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Pasti banyak mata yang hanya melihat kegagalan itu ke arah jurulatih, tetapi Kim Swee tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan itu.

Pelbagai masalah yang diterima Kim Swee sejak memikul tugas secara rasmi pada Januari lalu, termasuk kekurangan pemain yang benar-benar berkualiti dan ditambah pula dengan persaraan empat tonggak utama membuatkan Kim Swee berdepan tekanan.

Malah, tekanan yang paling memuncak buat jurulatih berusia 45 tahun itu adalah ketika isu meminta Harimau Malaysia menarik diri dari Piala AFF.

TUKAR SISTEM

KEGAGALAN di Myanmar sememangnya bukti jelas kegagalan pembangunan peringkat akar umbi bola sepak tanah air.

Kepincangan ini bukan perkara baharu namun harapan tinggi masih diletakkan di bahu skuad Harimau Malaysia.

Apa yang pasti, kegagalan pada kempen Piala AFF kali ini harus dijadikan pengajaran buat FAM betapa mereka perlu mengutamakan pembangunan akar umbi yang lebih jitu dan serius.

FAM perlu mendengar pandangan luar dan bersedia membuat perubahan kepada sistem pembangunan pemain.

Ada peminat berpendapat, program pembangunan sedia ada, dijalankan secara tidak betul kerana masih belum melahirkan pemain bintang yang dibanggakan.

Kata mereka, FAM seharusnya ditadbir orang bola sepak atau bekas pemain yang masih aktif bukannya orang politik...barulah bola sepak di negara ini boleh maju...maju seiring dengan peredaran zaman.

PECAT BUKAN PENYELESAIAN

BERDASARKAN rekod, ini adalah kali ketiga skuad negara gagal ke separuh akhir, namun bukanlah yang terburuk berbanding 1998 ketika dikendalikan Hatem Soussi di Vietnam yang pulang tanpa kemenangan, tanpa penjaring gol selepas tiga  perlawanan.

Satu gol yang diperoleh ketika itu adalah gol sendiri pemain Singapura.

Apa pun, laungan pecat Kim Swee bukan jalan penyelesaian bagi menyelesaikan kemelut Harimau Malaysia.

Andai Pep Guardiola sekali pun yang datang membimbing skuad kebangsaan, belum tentu corak permainan Malaysia berubah 360 darjah.

Peminat harus mengerti, dengan pemergian seseorang jurulatih tidak semestinya mutu skuad kebangsaan akan meningkat.