BUAT kali pertamanya, jersi baharu Harimau Malaysia ‘ditanggalkan’ belang dalam satu pembaharuan dan pengenalan drastik sejak Nike mengambil alih sebagai pengeluar kelengkapan pasukan bola sepak negara itu pada 2007 daripada Adidas.

Tiada lagi jalur hitam pada jersi tempat sendiri (kandang/home) mahupun tempat lawan (tandang/away) yang membalut tubuh anak buah Datuk Ong Kim Swee khususnya dalam cabaran Piala Suzuki AFF 2016 mulai esok.

Turut ‘dicabut’ langsung ialah warna kuning tradisi dan biru-putih-merah' digantikan dengan hitam dan putih semata-mata bagi jersi dan seluarnya manakala warna stoking kekal kuning.

Lebih mengejutkan, Jalur Gemilang dilenyapkan sebaliknya logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikembalikan ke posisi dada kiri itu seperti mana pada awal Nike memperkenalkan jersi baharu Harimau Malaysia.

Cukup drastik dan radikal malah berisiko! Namun tanpa belang, wujudkah semangat mahupun ciri-ciri positif harimau itu pada pasukan negara?

Apakah warna dan penampilan baharu ini mampu menyuntik semangat dan mengubah nasib pasukan Kim Swee yang bertandang ke Stadium Thuwunna, Yangon untuk menghadapi Kemboja, Vietnam dan Myanmar hingga Sabtu depan?

Atau sekadar satu lagi perubahan kosmetik, indah khabar daripada rupa yang hanya memanjangkan pencapaian tidak seberapa skuad ini yang meliputi empat kemenangan, lima seri dan kalah tiga kali daripada 12 perlawanan sepanjang 2016 sejak Mac lalu.

Apa yang cuba dibuktikan kali ini?

Warna kuning atau lambang emas (kejayaan) sudah tidak bernilai lagi? Biru tidak relevan dengan peredaran semasa?

Maka hitam dan putih yang selalu dikaitkan dengan perkabungan atau kesedihan pula menjadi galang gantinya?

Sebelum hadirnya Nike, skuad negara yang bertukar jurulatih daripada anak tempatan kepada warga asing hanya boleh dibanggakan dengan empat pingat emas Sukan Sea, dua pingat gangsa Sukan Asia, dua tiket Sukan Olimpik dan 10 gelaran Pestabola Merdeka.

Hanya tiga tahun selepas Harimau Malaysia ‘berbelang baharu’ Nike, barulah Piala AFF 2010 (sebelumnya Piala Tiger atau Kejohanan AFF) dapat dijulang oleh ‘Safiq Rahim dan Rakan-rakan’ yang dibimbing Datuk K Rajagobal.

Sebenarnya si pemakai jersi ini perlu ingat amanat penting seorang pengurus pasukan negara kepada pasukan yang cukup ringkas tetapi mendalam maknanya – “bayangkan daripada berjuta-juta warga Malaysia, hanya anda yang terpilih menyarung jersi ini.”

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad pernah berkata, “Paling penting ialah kesedaran mempertahankan maruah negara setiap kali menyarung jersi ini selain mewakili tanggungjawab kepada rakyat Malaysia."