BUKANNYA kekuatan lawan yang menjadi halangan tetapi gelanggang yang bakal digunakan Palestin untuk menanti kunjungan Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 sedikit mengganggu persiapan skuad kebangsaan.

Selepas membenam Malaysia 6-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 Jun lalu kini Stadium Dura, Hebron pula menjadi aksi timbal balik Kumpulan A membabitkan pertembungan Palestin menentang Malaysia pada 12 November nanti.

Namun sedikit kelegaan apabila langkah proaktif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) agar gelanggang tersebut diubah ke tempat lain atas faktor keselamatan mendapat persetujuan dan Jordan dipilih sebagai gelanggang baharu.

Bagi pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee keputusan itu nyata melegakannya menjelang aksi yang begitu bermakna buat pasukan.

“Bukan pemain sahaja, pegawai, peminat dan ahli keluarga yang terlibat agak risau dengan keadaan yang berlaku ketika ini di Israel dan Palestin.

“Jadi bila perkara ini diumumkan Fifa diubah ke venue neutral, saya percaya semua menyambut baik keputusan ini lebih-lebih lagi ini melibatkan banyak pihak,” ujarnya.

Aidil lega tukar venue

Nada kelegaan  juga disuarakan tonggak pertahanan Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dengan keputusan Fifa yang memberi ruang buat dirinya dan rakan sepasukan memberikan tumpuan sepenuhnya.


“Bagi saya sebagai pemain saya fikir keputusan itu adalah bagus kepada kami terutamanya dari segi keselamatan sebab kita tidak tahu apa yang bakal terjadi seandainya kami beraksi di sana (Palestin).

“Sekarang kami boleh fokus sepenuhnya dalam sesi latihan tanpa perlu memikirkan soal keselamatan kerana kami bakal beraksi di gelanggang berkecuali. Memang lega sebaik sahaja kami menerima berita tersebut.

“Sekarang ini kita sudah tahu gelanggang yang kita akan beraksi nanti lebih selamat berbanding sebelumnya. Bagaimanapun saya tak cakap tempat itu (Palestin) tidak selamat langsung cuma kami mahukan satu jaminan,” katanya.

Kim Swee panggil Redzuan

Mengulas barisan pemain yang bakal menggalas misi negara, Kim Swee turut memanggil pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Redzuan Suhaidi sebagai pemain gantian kelima menyertai skuad kebangsaan.

Sebelum ini, Kim Swee telah memanggil Ahmad Fakri Saarani, Ronny Harun, Shahrul Azwari dan pertahanan kiri JDT, Fadzly Mazlan bagi menggantikan kelibat pemain tonggak mengalami kecederaan serta urusan peribadi.

“Redzuan antara pemain yang cukup konsisten. Ini terpulang kepadanya untuk membuktikan jika diberi peluang, saya pasti pemain ini mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Hanya kita kena beri dia masa kerana kita tidak boleh mengharapkan sesuatu yang ajaib,” katanya.