JURULATIH skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Frank Bernhardt, tetap menganggap Filipina sebagai medan ujian untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya Sukan Sea Kuala Lumpur, tahun depan.

Skuad B-22 terbang ke Manila pada 8 Disember ini, bagi mengulangi aksi persahabatan di Paroi pada Mac lalu yang menyaksikan Malaysia menang dengan jaringan 4-1.

Pasukan kendalian jurulatih dari Jerman itu, pada asalnya dijadual bertemu Myanmar B-22 pada 9 dan 12 Disember ini.

Namun, perlawanan itu dibatalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Keputusan (membatalkan perlawanan persahabatan) sungguh mengecewakan. Sukar untuk mendapatkan satu pasukan, jadi kami cuba dengan beberapa pasukan cuma Filipina yang sedia untuk bermain...ia bukan keputusan saya tetapi keputusan pihak yang lebih tinggi daripada FAM.

"Tetapi satu perlawanan antarabangsa adalah lebih baik daripada tiada langsung atau bermain dengan pasukan kelab dan kelab pun sedang melakukan persiapan untuk musim akan datang,” katanya.

"Filipina mungkin tidak sekuat Myanmar tetapi mereka telah melakukan banyak perubahan dan mempunyai pemain baru kali ini. Jadi adalah mencabar buat kami dalam perlawanan ini nanti,” kata Bernhardt.

PERLU WASPADA

MENGULAS mengenai persediaan Sukan Sea, Bernhardt yang menyedari kebangkitan pasukan seperti Myammar dan Kemboja yang menyerlah dalam Piala AFF, percaya anak buahnya cukup kuat untuk berhadapan cabaran itu.

"Pasukan Myanmar sudah pastinya bagus...dalam perlawanan pertama Piala AFF mereka telah menurunkan tujuh pemain B-22 mereka dalam kesebelasan utama.  

"Saya pasti mereka akan kuat di Sukan Sea nanti.

"Saya juga telah bercakap dengan Pengarah Teknikal Vietnam, mereka akan menghentikan liga mereka selama empat bulan untuk persiapan Sukan Sea.

“Kami juga mempunyai satu pasukan yang bagus dan masih mempunyai masa untuk membangunkannya tetapi negara lain datang dengan pasukan yang lebih kuat, ia bukan mudah bagi kita melaluinya...kami terpaksa bekerja keras untuk segalanya,” katanya.    

Selepas perlawanan persahabatan dengan Filipina, pemain akan kembali kepada kelab masing-masing dan jika mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), setiap pemain hanya mempunyai waktu rehat selama seminggu masing-masing dalam Mac dan Jun tahun depan.  

“Kami mungkin mengambil bahagian dalam kejohanan di Timur Tengah dalam Mac dan mengendalikan latihan berpusat dari penghujung April ke Mei...itu kami bincangkan tetapi saya masih belum membuat keputusan. Sama ada kelab akan membenarkan pemain mereka menyertai atau tidak, itu perkara lain,” katanya.

Dengan hanya tinggal 258 hari sahaja lagi untuk Sukan Sea, tibalah masanya buat badan pentadbir bola sepak negara menyediakan program yang jelas untuk skuad ini, bagi mengelakkan daripada dimalukan di tempat sendiri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEDAH mengakhiri kempen pra-musim 2017 dengan lima kemenangan dan dua seri di dalam usaha untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain tempatan dan juga import baharu yang dibawa masuk.
  • IBARAT sirih pulang ke gagang. Mungkin itulah bidalan paling tepat bagi menggambarkan kepulangan pemain kebangsaan, Mohd Hafiz Kamal untuk beraksi bersama Perak bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2017.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.