MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.

Sudah terang lagi bersuluh, ini gambaran jelas dapat disimpulkan apabila beberapa calon menyuarakan pendirian awal sebelum mahupun selepas 38 calon mengesahkan diri untuk bertanding.

Bermulalah dari jawatan tertinggi badan induk sukan bola sepak negara iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Exco Lelaki dan Exco Wanita kesemua calon dilihat memiliki latar belakang dan kelebihan tersendiri.

Tidak kurang pula calon yang menarik diri dan tidak mempertahankan jawatan yang disandang  disebabkan sudah mengetahui lebih awal keputusan yang akan diterima.

Namun tumpuan pastinya terarah kepada 20 ahli gabungan yang terdiri dari 14 Persatuan Bola Sepak Negeri, Persatuan Bola Sepak Melayu, Malaysia, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Persatuan Majlis Sukan India Malaysia, Persatuan Jurulatih Malaysia, Persatuan Bola Sepak PDRM dan Persatuan Bola Sepak ATM.

KELEBIHAN TERSENDIRI

Pertembungan golongan istana dan politik, buku bertemu ruas atau sebagainya itulah situasi sebenar bagi perebutan jawatan Presiden FAM yang mempertemukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Kedua-duanya memiliki aura dan kelebihan tersendiri, mungkin secara ringkasnya kekuatan yang dimiliki Tunku Ismail pastinya kejayaan membimbing Johor Darul Ta’zim dalam saingan bola sepak tempatan dan peringkat asia.

Bagi Annuar pula gelaran Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan sinonim dengan dirinya, namun jika diimbas pencapaiannya ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan (1990-1993) banyak idea dan kemajuan dibawanya termasuklah cadangan pembinaan Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil dan usaha ke arah penganjuran Sukan Komanwel 1998.

Kini selepas hampir 33 tahun, teraju kepimpinan FAM digalas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melepaskan jawatannya itu, ia akan menyaksikan watak baharu yang bakal menduduki kerusi panas tersebut.

MUKA BAHARU

Perebutan bagi kerusi Timbalan Presiden juga tidak kurang hebatnya, apabila empat calon dicadangkan Exco namun hanya tiga yang menawarkan diri untuk bertanding manakala seorang penyandang sedia ada mengundurkan diri.

Datuk Seri Afandi Hamzah yang merupakan penyandang sedia ada menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan disandang namun tidak bagi Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang mengundur diri membolehkan calon baharu iaitu Dato' Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal yang pernah bertanding bagi jawatan sama sebelum ini namun tewas kepada Afandi dan Abdul Mokhtar.

Seorang lagi calon yang dicadangkan ahli gabungan iaitu Dato' Rozabil Abdul Rahman pula tidak berhasrat untuk bertanding.

SH : HORMATI PENCALONAN

Bagi Afandi keputusan untuk kekal bertanding adalah atas dasar hormat kepada pencalonan yang diberikan ahli gabungan dan tidak berkecil hati dengan tanggapan sesetengah pihak.

“Keputusan ini atas dasar hormat kepada pencalonan yang diberikan dan selepas berfikir semasak-masaknya.

“Dalam konteks pemilihan, sudah tentu ada pelbagai pandangan dilontarkan. Ada yang inginkan muka baharu dan ada juga yang mahukan muka lama bergandingan dengan muka baharu untuk meneruskan kesinambungan, walau apa jua pandangan, saya harus menerimanya secara terbuka dan menghormati pandangan yang diberikan,” katanya.

BERI RUANG

"Sudah tiba masanya beri peluang kepada orang baharu yang memiliki komitmen dan tenaga," itulah pandangan Abdul Mokhtar mengenai tindakannya tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi laluan kepada individu yang lebih muda memegang jawatan dalam badan induk tersebut kerana mereka lebih bersemangat dan komited dalam menjalankan tugas.

“Sudah tiba masanya berikan peluang kepada orang baharu yang memiliki tenaga dan memberikan komitmen malah menjana idea yang lebih segar. Jadi saya keluar dari FAM. Tiada masalah.

“Saya harap ramai orang baharu akan datang dalam exco yang boleh melakukan sesuatu kepada FAM lebih-lebih lagi dengan presiden baharu yang banyak visinya.

“Dua atau tiga muka lama perlu juga untuk meneruskan kesinambungan dan mereka yang masih muda ada kelayakan malah ada yang telah membuktikan komitmen masing-masing,” katanya.

SUARAKAN SOKONGAN

Lain pula nada disuarakan calon baharu iaitu Mohd Yusoff yang secara terang-terangan menyuarakan pandangan serta sokongan kepada calon Presiden, Tunku Ismail.

Jelasnya, beliau lebih selesa bekerjasama dengan Tunku Ismail berbanding pencabarnya Tan Sri Annuar Musa.

“Sekiranya Tunku Ismail dipilih sebagai Presiden FAM dan perwakilan memilih saya, saya amat berbesar hati tetapi jika mereka merasakan Annuar individu yang lebih layak saya pun minta mereka jangan memilih saya.

“Saya tidak pernah duduk (bekerjasama) dengan Annuar jadi saya tidak faham apakah pembaharuan yang beliau ingin bawa dalam FAM.

“Mungkin juga ada rakan lain yang boleh bekerjasama dengan beliau dan Annuar lebih selesa dengan calon yang boleh bekerjasama dengan dirinya.

“Saya agak terbuka dalam hal ini dan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.

“Itu jawapan saya. Kalau perwakilan memilih Tunku Ismail, saya sudi menawarkan diri dan jika majoriti perwakilan memilih Annuar saya pun minta mereka memikirkan gandingan yang sesuai dengan beliau.

“Kalau banyak perwakilan ingin Tan Sri, automatik tidak perlu pilih saya. Saya ada fikir juga kalau keadaan itu berlaku (Annuar dan Yusoff menang). Mungkin beliau tidak selesa bekerja dengan saya dan saya tidak faham apa kehendak dan hala tuju Tan Sri.

“Itu akan menimbulkan konflik dan tidak dapat bekerja dalam pasukan yang baik. Kita mahu FAM diterajui dalam satu pasukan,” katanya.

PERLU BUKTIKAN

Bagi jawatan Naib Presiden, Exco Lelaki dan Exco Wanita pula beberapa nama yang tersenarai dilihat sudah memiliki kelebihan tersendiri terutamanya mengendalikan mahu pun memimpin jawatankuasa yang diamanahkan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri.

Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk S Sivasundaram, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Datuk Astaman Abdul Aziz sememangnya dikenali ahli-ahli gabungan yang bakal mengundi nanti.

KEMPEN BERHEMAH

Tempoh sebulan yang diberikan untuk calon-calon berkempen menerangkan visi dan misi seharusnya digunakan, berkempenlah secara sihat dengan semangat kesukanan demi kebaikan semua.

Buat semua 20 ahli gabungan, undi anda amat bermakna jangan sia-siakan amanah diberikan untuk empat tahun akan datang. Masa depan bola sepak negara terletak di tangan anda.

SENARAI 20 AHLI GABUNGAN YANG AKAN MENGUNDI:
> 14 Persatuan Bola Sepak Negeri (Setiap ahli gabungan memiliki dua undi kecuali Persatuan Jurulatih Malaysia hanya satu)
- Selangor
- Kedah
- Perak
- Johor
- Kelantan
- Kedah
- Terengganu
- Pahang
- Perlis
- Melaka
- Negeri Sembilan
- Kuala Lumpur
- Sabah
- Sarawak
- Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia
- Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia
- Persatuan Majlis Sukan India Malaysia
- Persatuan Jurulatih Malaysia
- Persatuan Bola Sepak PDRM
- Persatuan Bola Sepak ATM
Jumlah = 39 UNDI

SENARAI CALON PEMILIHAN FAM 2017/21
> Calon Presiden
- Tunku Ismail  Sultan Ibrahim
- Tan Sri Annuar Musa
Kekosongan 1

> Calon Timbalan Presiden
- Datuk Mohd Yusoff Mahadi
- Datuk Seri Afandi Hamzah
- Datuk Seri Subahan Kamal
Kekosongan 2

> Calon Naib Presiden
- Datuk Zainol Fadzi Paharudin
- Datuk S Sivasundaram
- Mohd Joehari Mohd Ayob
- Datuk Ab Ghani Hassan
- Datuk Takiyuddin Hassan
- Datuk Rosmadi Ismail
- Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman
- Datuk Astaman Abdul Aziz
- Marzuki Sulong
Kekosongan 4

> Calon Exco (Lelaki)
- Abdul Aziz Yeop Jamaludin
- Supt. Mohd Dali Wahid
- Datuk Azril Mat Drus
- Subkhiddin Mohd Salleh
- Mohd Firdaus Mohamed
- Christopher Raj
- Datuk Jefferey Low
- Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
- Datuk Azisman Alias
- Datuk Aminuddin Omar
- Datuk Muhammad Yadzan Mohammad
- Ishsam Shahrudin
- Nik Ahmad Yaakub
- Datuk Gary Vasudevan Nair
- Mohd Jamil Zakaria
- Nokman Mustafa
- Mej. Jen. (B) Datuk Mazelan Kasap
Kekosongan 8

> Calon Exco (Wanita)
- Shafizah Umamah Abdul Mutalib
- Roselina Idrus
- Brig. Jen. Datuk Norhuda Ahmad
- Tuan Nah Nik Him
- Normala Yusoff
- Datuk Suraya Yaacob
- Isfarina Mohd Bali
Kekosongan 2

> PRESIDEN FAM
- Tunku Abdul Rahman (1958-1974)
- Tun Abdul Razak (1975-1976)
- Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah (1976-1983)
- Sultan Haji Ahmad Shah (1984-2014)
- DYTM Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah (2014–2017)

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.
  • LIGA Bola Sepak Wanita (LBRW) yang akan bermula 3 Februari ini, bakal menyediakan medan pendedahan dan pengalaman perlawanan sebenar yang lebih meluas kepada skuad bawah 14 dan 16 tahun negara di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.