KUALA LUMPUR suatu ketika dulu pernah muncul antara pasukan disegani dan menjadi kebanggaan warga kota.

Pemain-pemain seperti Rashid Hassan, Shebby Singh, Allahyarham Zaid Jamil, Subadron Aziz dan Razip Ismail antara pemain yang pernah mengharumkan nama pasukan itu.

Malah, Kuala Lumpur pernah menggegarkan arena bola sepak tanah air apabila penyerang mudanya, Azman Adnan muncul pemain termahal apabila menyertai Selangor dengan yuran perpindahan RM1 juta pada tahun 1993.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur kini sudah tidak segah dulu.

Pemain datang dan pergi, malah pasukan berkenaan yang pernah mekar di bawah kepimpinan Tan Sri Elyas Omar kini sukar melahirkan pemain homegrown berkualiti.

Puncanya? Mungkinkah ia didorong oleh ketiadaan program pembangunan akar umbi yang serius? Atau Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) lebih tertarik memancing pemain luar berbanding melentur bakat anak-anak warga kota?

JANGAN SOMBONG

PRESIDEN Persatuan Bekas Pemain Kuala Lumpur (Player), Mohd Irwan Rizal berkata, skuad Warga Kota masih boleh diselamatkan.

Namun, ia bukanlah perkara mudah dan masalah tersebut boleh diselesaikan dalam masa satu malam.

Pada masa sama, Irwan mendakwa ketiadaan pembangunan akar umbi yang menyeluruh menjadi punca Kuala Lumpur ketandusan dalam melahirkan pemain berkualiti.

Katanya lagi, pengurusan KLFA perlu membuka mata dan menggunakan khidmat dan kepakaran bekas-bekas pemain dalam membantu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

"Kita ada ramai bekas-bekas pemain yang mempunyai Lesen A dan B. Tapi setahu saya, KLFA tidak pernah atau tidak membuka jalan untuk mendekati mereka.

"Janganlah sombong. Rugi jika KLFA tidak menggunakan khidmat mereka," katanya.

Irwan menjelaskan, ketika ini beberapa bekas pemain Kuala Lumpur menjadi jurulatih antaranya Mohamad Ishak Kunju Mohamad yang kini membimbing skuad Piala Presiden PDRM dan Ahmad Fairuz Mohd Yunus yang baru menyertai Felda United sebagai penolong jurulatih.

Musim lalu, Ahmad Fairuz menabur bakti sebagai penolong jurulatih Negeri Sembilan.

"Setahu saya, pengurusan KLFA tidak pernah menghubungi Ahmad Fairuz," katanya.

BERI RUANG

"RAMAI bekas pemain ada lesen kejurulatihan. Bukannya mereka tidak layak," kata Irwan.

Bagi Irwan, pengurusan KLFA perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada bekas-bekas pemain terlibat dalam struktur kejurulatihan pasukan tersebut.

"Kita bukan mahu kacau periuk nasi orang lain atau rampas jawatan. Cukup sekadar KLFA memberi ruang kepada bekas-bekas pemain yang mana ramai antara mereka ini adalah anak jati Kuala Lumpur.

"Mereka ada Lesen A dan B. Kalau tak boleh bimbing skuad utama. Bagilah peluang untuk mereka bimbing skuad Piala Presiden atau kendalikan program pembangunan akar umbi.

"Jangan tutup sebelah mata. Pemain ini banyak berjasa pada pasukan dan tidak salah jika KLFA dekati semula mereka," katanya.

KECEWA

IRWAN juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan sikap pengurusan KLFA.

“Saya lihat wujud masalah dalam persatuan itu. Dengan mewujudkan sistem pengurusan sombong tanpa memerlukan sokongan serta bantuan pihak lain, inilah yang berlaku.

“Sokongan dan bantuan yang ditawarkan Player kepada pengurusan KL tidak diambil peduli.

“Ini menunjukkan mereka mengamalkan sikap bodoh sombong. Saya cadangkan perlu ada rombakan semula di peringkat pengurusan dan jawatankuasa kerana dikhuatiri mereka yang memegang jawatan hanya mempunyai kepentingan diri sendiri serta menggunakan jawatan yang ada sebagai platform politik masing-masing,” katanya.

Irwan menjelaskan, dua musim lalu pihak Player pernah menawarkan bantuan kewangan berjumlah RM400,000, namun KLFA menolak bantuan berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.