"SKRIP yang dijangka telah pun diterjemahkan kepada realiti oleh pasukan bola sepak negara. Hanya tiga mata yang sukar diperolehi dapat diraih, serta satu gol yang sangat sukar untuk diterjemahkan ke separuh akhir, gagal diperolehi.

Skuad negara ketika ini sangat-sangat memerlukan tonik untuk kembali digeruni. Satu pendekatan yang realistik, pendekatan jangka pendek dan jangka panjang perlu digariskan.

ROMBAKAN, adalah perkataan paling sesuai ketika ini, bukan sahaja pada barisan pemain, malah pengurusan FAM. Kaedah baik, saluran betul, malah saluran tak betul pun telah dibuat oleh penyokong bola sepak tanah air. Akhirnya, penyokong juga yang turun naik mahkamah. Itu tak hairan sangat, sebab penyokong punya jiwa dalam menyayangi bola sepak negara. Jadi apalah sangat turun naik mahkamah setiap bulan dengan pertuduhan yang dihadapi.

Seperti umum sedia maklum, pemilihan jawatankuasa, Exco dan presiden FAM bakal berlaku tidak lama lagi. Pemilihan yang telus serta diiringi dengan hati yang ikhlas bagi melihat tampuk pemerintahan dan organisasi FAM diterajui oleh mereka yang 'jiwa bola' perlu dilakukan oleh mereka yang terlibat.

Buka mata buka minda, jika tidak mampu buat kerja, jangan lantik mereka. Kalau tidak ikhlas, jangan undi mereka.

Jangan hanya memikirkan pulangan jika menduduki satu-satu kerusi dalam FAM, tapi fikirkanlah apa yang bakal disumbangkan. Bolehkah mereka atau tuan punya diri tersebut 'buat kerja'?, kerana ini bukan suka-suka, INI MISI NEGARA.

Bagi pemilihan pemain pula, umum maklum masih ada beberapa pemain yang layak dipanggil, tidak dipanggil, tetapi pemain yang tidak layak dipanggil pula, berada dalam kesebelasan utama. Satu penyakit di negara kita, pilih kasih masih berlaku dalam pemilihan pemain. Jika jurulatih ini, pasti pemain ini dipilih walaupun hakikatnya pemain tersebut bukan pilihan pun dalam kelab mereka malah prestasi jangan menurun.

Butang panik wajib ditekan sekarang agar tiket ke Piala Asia dapat dicapai. Siapkan satu struktur organisasi pengurusan yang bijak dan ikhlas, serta pilihlah pemain yang layak dipanggil untuk negara.

Akar umbi bola sepak negara perlu diberi perhatian kerana kita ketandusan pemain muda yang berwibawa dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Kita sebenarnya telah kehilangan batch pemain yang baik yang sepatutnya menguasai Piala AFF yang sedang berlangsung.

Kita kempunan melihat kelincahan Nazmi Faiz Mansur, Izzaq Faris Ramlan, Wan Zack Haikal, Wan Zaharul Nizam dan rakan seangkatan mereka. Di mana mereka sekarang? Ya, mereka hanya lincah sewaktu peringkat umur, tapi sekarang? Sistem kita merosakkan bakat yang ada, ditambah sikap ketidakprofesionalisme pemain itu membawa diri ke arah menjadi pemain profesional.

#BANGKITLAH HARIMAU MALAYA, MASIH ADA RASA SAYANG DARI PENYOKONG. - CAPO LEKIR AHMAD & KOMRAD ULTRAS MALAYA