SKUAD Harimau Malaysia tiada pilihan lain melainkan menang ke atas Myanmar malam ini untuk mara mengiringi Vietnam ke separuh akhir Piala AFF 2016.

Pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee juga mahu anak buahnya memanfaatkan tekanan dihadapi Myanmar sebagai tuan rumah demi memenuhi misi sukar itu.

MISI HIDUP MATI

KEKALAHAN 0-1 kepada Vietnam Rabu lalu, nyata menyukarkan misi Malaysia layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF.

Namun bagi Kim Swee, anak buahnya perlu melupakan episod malang tersebut sebaliknya bangkit mencipta kemenangan ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B, malam ini.  

Meskipun kecewa, Kim Swee menegaskan betapa persembahan yang dipamerkan anak buahnya pada perlawanan itu adalah lebih baik berbanding ketika menentang Kemboja.

"Apa yang penting ketika ini kami perlu fokus ke depan untuk berdepan Myanmar. Kami perlu menang dan itu pilihan yang kami ada untuk terus mara ke pusingan seterusnya (separuh akhir)," katanya.

MYANMAR LEBIH TERTEKAN

BAGI Kim Swee, Myanmar lebih tertekan untuk mara ke separuh akhir berbanding Malaysia kerana status mereka sebagai tuan rumah.

Malah, Kim Swee optimis anak buahnya mampu melakukan upset malam nanti biarpun menyedari Myanmar dilihat sukar dijinakkan di laman sendiri.  

“Myanmar sebenarnya yang tertekan bukan kita, mereka mahukan kemenangan di depan penyokong sendiri. Peluang untuk kita layak ke separuh akhir di tangan kita sendiri.

"Apa pun, saya harap pemain tidak lagi mengulangi kesilapan ketika berdepan Vietnam. Paling penting kita sudah pun melupakan kekalahan itu," katanya.

Kami perlu lupakan kekalahan ini

PEMAIN pertahanan negara, Ronny Harun mengakui kelekaan menjadi punca skuad Harimau Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B, Rabu lalu.

"Memang kekalahan ini mengecewakan kerana kami telah bertahan dengan baik dari separuh masa pertama, tetapi minit-minit terakhir kami dibolosi.

"Kami bermain mengikut perancangan dan menguruskan lawan dengan baik pada mulanya, tapi inilah bola sepak. Kadang-kadang ia boleh menjadi kejam.

"Apa pun, kami perlu akur dan ambil iktibar daripada kekalahan itu," katanya.

Pada masa sama, Ronny juga mahu rakan sepasukannya melupakan kekalahan kepada Vietnam sebaliknya terus kekal fokus untuk bertemu Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan, malam ini.

Ronny berharap, semangat pemain negara tidak akan luntur untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Piala AFF kali ini.

"Peluang kini terletak di tangan kami, apa yang saya harap setiap peluang yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan kita tidak boleh sia-siakan jika mahu melangkah ke separuh akhir,” ujarnya.

'PELAN-PELAN KAYUH'

DALAM pada itu, Kim Swee turut mengingatkan pemainnya supaya tidak terburu-buru dalam memburu gol awal ketika berdepan Myanmar nanti.

Sebaliknya pengendali dari Melaka ini menuntut kesebelasan utama Harimau Malaysia yang diturunkan malam nanti tenang menghadapi asakan tuan rumah.

“Pemain harus mengikut percaturan taktikal dan apa yang ditunjukkan (ketika tewas 0-1 kepada Vietnam) Rabu lalu cukup baik sebelum kita dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

Kim Swee berkata, beraksi pada sebelah malam buat pertama kali setelah terpaksa bermain dua perlawanan pada waktu petang dengan cuaca panas sebelum ini, mampu memberi perangsang kepada pemain negara untuk memburu keputusan positif.

Beliau turut memaklumkan pemain pertahanan tengah, Ronny Harun dan pemain sayap kiri Mohd Syazwan Zainon, yang masing-masing cedera di pangkal paha dan bengkak kaki, telah dirujuk kepada doktor pasukan untuk mengetahui sama ada dapat diturunkan malam ini.

Mengulas tekanan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Myanmar, Kim Swee berkata, pemain kebangsaan sudah biasa menghadapi situasi itu dan yakin mereka mampu memberi saingan sengit kepada tuan rumah.

JANGAN PERNAH PATAH HATI

ALHAMDULILLAH...

Keputusan bijak dibuat untuk tidak memboikot kelangsungan Piala AFF 2016.

Kita kalahkan Myanmar pada perlawanan esok juga adalah satu kemenangan moral bagi muslim Malaysia..

Apa yang diharap pada perlawanan kedua hampir berlaku, tapi tidak berlaku..

80 minit bertarung yang bukan sekadar bertahan malah juga menyerang, akhirnya Harimau Malaya layu dek kealpaan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kini jalan sehala bagi Harimau Malaya yang mana wajib menang walau hanya dengan satu gol. Ini kerana, elemen kejutan yang kita harap berlaku pada pertemuan Myanmar-Kemboja, tidak berlaku.

Kembola yang mndahului Myanmar, akhirnya tumbang 1-3 yang mmberikan kelebihan defisit satu jaringan kepada Myanmar berbanding Malaysia. Ini bererti jika seri, Myanmar yang akan layak ke separuh akhir, sementara Veitnam yang sudah layak bakal menentang Kemboja dengan tidak perlu mengerah keringat.

Berdasar pemerhatian sepanjang dua kali menonton perlawanan melibatkan Myanmar, saya yakin Myanmar mampu dijinakkan.

Bagi kegusaran yang bermain difikiran tentang sokongan padu penyokong mereka, saya tidak rasa mmberikan mereka kelebihan sebab yang bermain adalah pemain.

Terdapat beberapa pemain Myanmar yang boleh digunakan oleh Datuk Ong Kim Swee sebagai sasaran untuk menembusi kubu Myanmar. Mereka tidak begitu hebat, cuma semangat sebagai tuan rumah yang mmbolehkan mereka kelihatan gagah.

Harimau Malaya perlu bijak, tenang dan sabar mencari gol, jangan gentar, jangan hormat pemain mereka.

Ayuh Malaysia, kita tawan YANGON. Separuh akhir di Tanah Tumpahnya Darahku, pasti memberikan satu kebanggaan untuk bola sepak kita. Ayuh! Harimau Malaya mengaum di Yangon.


- DARI PENA LEKIR

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.