LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.

Mengapa sukar, bukankah Annuar ini bekas Timbalan Presiden FAM sebelum ini dan memiliki pemikiran terbuka dalam konteks sukan bola sepak negara ?

Digelar Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan dan penyelamat The Red Warriors (TRW), adakah ini tidak cukup untuk buat dirinya?

Annuar memanglah individu yang hebat tetapi lawan yang ditentang juga tidak kurang hebatnya iaitu pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

MENANG AWAL

Pertemuan 14 wakil ahli gabungan FAM dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diketuai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi di Kelab Polo Istana Pasir Pelangi, menceritakan segala-galanya.

Hasil pertemuan tersebut, Sultan Johor, Sultan Ibrahim memberi perkenan untuk Tunku Ismail bertanding bagi jawatan Presiden FAM.

Melihat kepada sokongan kuat 14 ahli gabungan FAM yang mahukan pemilik kelab JDT itu menerajui badan induk bola sepak negara, Annuar dilihat mungkin berdepan laluan sukar untuk memenangi pertandingan membabitkan dua penjuru itu pada 25 Mac ini.

BUAT PILIHAN TEPAT

Calon lain yang turut dikaitkan dengan jawatan kerusi panas ini antara lain Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat bagaimanapun sah menarik diri dari bertanding.

Namun buat ahli gabungan yang bakal mengundi, pemilihan tidak boleh berasaskan kepada emosi atau faktor-faktor yang kurang jelas kerana pilihan yang salah akan mengakibatkan masa depan bola sepak negara terjejas dan memberi kesan negatif kepada sukan bola sepak negara secara amnya

Artikel berkaitan yang patut anda baca :