MOHD Rizal Mohd Ghazali, berasal dari Baling, Kedah. Bermain di posisi pertahanan dan sayap kanan.

Memakai jersi 34 pada mulanya untuk pasukan Kedah, sebelum menukar ke jersi nombor 15 selepas itu.

Mula bermain dengan pasukan Perlis pada 1 Januari 2011 hingga 1 Januari 2013, sebelum menyertai pasukan Kedah. Semasa bermain dengan pasukan Perlis, Rizal bermain sebagai penyerang.

Namanya menjadi sebutan selepas membantu Kedah merampas Piala Malaysia daripada Selangor, baru-baru ini.

Dia turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Bernilai RM5 juta?

“Bila menjadi pemain terbaik, nilainya semakin tinggi. Cuma bagi pihak KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah), kita masih belum menerima sebarang tawaran sedemikian. Sama ada dia (Rizal) mahu berhijrah jika ada tawaran itu, bergantung pada pemain itu sendiri."

Itu reaksi Setiausaha Agung KFA, Datuk Aminuddin Omar mengulas mengenai nilai Rizal selepas pemain itu dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia.

Rizal yang menyempurnakan sepakan penalti terakhir Hijau Kuning kini menjadi sebutan peminat dan buruan beberapa kelab dalam saingan Liga M yang dikatakan mampu membayar yuran perpindahan RM5 juta.

“Susah saya nak cakap. Kalau saya kata benar (mengenai harga Rizal sebanyak RM5 juta), mungkin ia menjadi bahan ketawa tetapi apa yang boleh saya katakan, Kedah masih lagi mengharapkan khidmatnya,” ujarnya.

Merendah diri

Begitupun Rizal dilihat lebih selesa mengambil pendekatan merendah diri dengan mengutamakan prestasi di atas padang berbanding menilai yuran perpindahannya.

“Mungkin angka itu (nilai perpindahan RM5 juta) berdasarkan pemahaman peribadi tetapi saya hanya melakukan yang terbaik untuk pasukan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana tanpa mereka, saya tidak mungkin berada pada tahap sekarang.

"Apa pun, RM5 juta itu tinggi nilainya dalam Liga M dan kebiasaan nilai itu hanya untuk pemain superstar. Saya masih belum sampai tahap itu tetapi saya ada misi sendiri iaitu mahu meneruskan kejayaan bersama skuad kebangsaan.

"Mungkin ia boleh diambil sudut positif iaitu menyuntik motivasi ketika bersama skuad kebangsaan nanti," ujar Rizal.

Pikat Kim Swee

Selepas membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia buat kali kelima, Rizal kini mengalihkan tumpuannya bersama skuad kebangsaan.

Rizal tanpa berselindung menaruh harapan untuk berada dalam skuad Harimau Malaysia ke Piala AFF Suzuki.

Dia antara 26 pemain yang disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat terakhir sebelum senarai 23 pemain terakhir dipilih Kim Swee bagi menghadapi aksi Kumpulan B saingan Piala AFF yang akan bermula pada 19 November.

“Mengenai pasukan kebangsaan, saya harap akan ada rezeki untuk sertai,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.