RM287,500! Itulah anggaran nilai keseluruhan denda terkumpul Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepanjang tahun ini. Melalui data yang di kumpul daripada laman web FAM, hukuman denda ini melibatkan seramai 11 orang pemain, dua pegawai dan 12 persatuan yang telah disabitkan kesalahan kerana melanggar Kod Tatatertib FAM 2015.

Nilai tersebut walau bagaimanapun, jauh lebih rendah berbanding denda yang pernah dikenakan tahun sebelum ini.

Sebagai contoh, data yang diambil dari Januari hingga Jun 2015 sahaja jumlah denda yang diputuskan FAM menjangkau RM320,500 untuk pelbagai jenis kesalahan.

Menurut kenyataan wakil media FAM, data ini walau bagaimanapun tidak lengkap sepenuhnya tetapi masih boleh dijadikan rujukan untuk hukuman denda yang telah diputuskan badan induk itu sepanjang 2016.

DENDA SALAH LAKU PEMAIN

TAHUN ini sahaja telah menyaksikan 11 pemain dikenakan denda oleh FAM. Denda ini diputuskan atas sebab perlanggaran beberapa Kod Tatatertib FAM 2015 seperti Artikel 50.1 (d) berkenaan salah laku terhadap pihak lawan atau individu, selain daripada pegawai perlawanan, Artikel 51.1 (b) berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan dan Artikel 67 berkenaan kegagalan mematuhi keputusan.

Negeri Sembilan menjadi satu-satunya pasukan yang mempunyai dua pemain yang dihukum iaitu Mohd Hariri Mohd Safii dan Daniel Sang Ting di atas kesalahan menyerang dan berkelakuan ganas terhadap pemain lawan di dalam dua perlawanan berbeza.

Masing-masing dikenakan denda sebanyak RM1,000 selain turut digantung perlawanan.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi pula menjadi pemain yang dikenakan denda tertinggi tahun ini iaitu sebanyak RM10,000 di atas kesalahan sengaja melakukan kerosakan di bilik persalinan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam perlawanan Liga Perdana 2015 pada 3 April tahun lalu.

Beliau juga turut disabitkan kesalahan kerana telah memuat naik status di laman Facebook miliknya yang berunsur hasutan dan penghinaan kepada FAM.

Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib bertarikh 10 Jun 2015, FAM telah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kepada pemain ini, selain turut digantung enam bulan daripada menyertai mana-mana perlawanan.

Namun, beliau telah mengemukakan rayuan dan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan pada 5 Februari lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM akhirnya telah sepakat untuk mengurangkan penggantungannya kepada dua bulan.

Walau bagaimanapun, denda yang dikenakan kepadanya telah meningkat menjadi RM10,000, selain perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada FAM kerana menyiarkan kenyataan berbaur hasutan dan fitnah di laman Facebook miliknya.

PEGAWAI DIDENDA

2016 juga menyaksikan dua pegawai pasukan dihukum denda oleh FAM. Zulhamizan Zakaria (Ketua jurulatih Kuantan FA) dan Nick Sham Abdullah (Pegawai Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia) atas dua kesalahan berbeza.

Zulhamizan disabitkan kesalahan kerana melanggar melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan, dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan perintah keluar padang akibat berkelakuan ganas terhadap pegawai perlawanan dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil dan pegawai perlawanan.

Akibat kesalahan ini, beliau telah didenda RM3,000 dan digantung selama tujuh bulan daripada terlibat dengan sebarang perlawanan bola sepak.

Bagi Nick Sham pula, penglibatannya sebagai jurulatih pasukan Malaysian All Stars di dalam perlawanan yang tidak diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mahupun FAM pada 24 Oktober 2015 menyebabkan beliau didenda RM1,500 dan digantung enam bulan daripada terlibat dengan perlawanan bola sepak.

Beliau disabitkan kerana melanggar Artikel 67 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan kegagalan mematuhi keputusan.

PAFA CATAT DENDA TERTINGGI

BAGI persatuan bola sepak pula, tahun ini menyaksikan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) didenda sebanyak dua kali melalui kesalahan berasingan.

Daripada dua kesalahan berasingan yang telah direkodkan, Pafa menjadi persatuan yang mencatat hukuman denda tertinggi tahun ini iaitu sebanyak RM62,500

Kesalahan pertama Pafa telah diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 4 Mac lalu, atas kesalahan kekecohan penyokong yang berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan Liga Super 2016 antara pasukan Perak dan Selangor di Stadium Perak, Ipoh pada 16 Februari 2016.

Kesalahan itu disabitkan kerana melanggar Artikel 68 (c) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan penganjuran perlawanan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan kegagalan mematuhi dan telah dikenakan hukuman denda RM25,000

Bagi kesalahan kedua, Pafa dihukum denda RM10,000 dan RM37,500 daripada dua pertuduhan berasingan yang telah diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM terbaru bertarikh 2 November 2016.  

Ini susulan daripada pergaduhan penyokong Perak dan JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Ipoh 6 Ogos lalu, yang mana penyokong kedua-dua pasukan telah bertindak di luar kawalan dengan membaling botol minuman, selain merosakkan harta benda stadium serta turut mencederakan seorang jurugambar.

Insiden itu telah melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan tanggungjawab bagi kelakuan penonton dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan pelanggaran berulang bagi Pertuduhan Pertama serta Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan penganjuran perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 berkenaan kegagalan mematuhi dan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan pelanggaran berulang.

Tidak cukup dengan itu, Pafa turut dihukum bermain tiga perlawanan rasmi tanpa penonton di gelanggang sendiri akibat mengulangi kesalahan melibatkan penyokong pada Februari lalu.

Menerusi kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pafa bakal membuat rayuan berhubung hukuman ini terutamanya ke atas hukuman bermain tiga perlawanan tanpa penyokong.

Abdul Puhat turut menyifatkan hukuman ini terlalu berat untuk pasukan kerana berikutan sokongan daripada penonton adalah penting untuk kemenangan Perak.

Pihaknya juga akan mengemukakan bukti kepada FAM terhadap insiden itu selain akan mengemukakan tuntutan ganti rugi di atas kerosakan yang berlaku.

Pergaduhan di antara penyokong Perak dan JDT bukanlah kali pertama berlaku. Ketika aksi Liga Super bertarikh 15 April 2014 yang juga bertempat di Stadium Ipoh, telah berlaku kekecohan daripada penyokong kedua-dua pasukan yang mana ia telah menyebabkan Pafa didenda sebanyak RM70,000 di atas lima pertuduhan.

Pertuduhan yang disabitkan termasuklah gagal menyediakan kawalan keselamatan yang sewajarnya, bas penyokong lawan disembur cat serta dibaling objek, menyerang penyokong lawan, dan pembakaran suar dan mercun di stadium.

Pergaduhan itu dikatakan terjadi akibat rasa tidak puas hati penyokong Perak terhadap insiden Januari 2014 di Stadium Larkin yang mana dua penyokong Perak telah dipukul, bas dibaling suar, cermin kereta pengurus pasukan dipecahkan, selain 300 penyokong terpaksa di kuarantin di dalam stadium sehingga jam 12 tengah malam.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.