• Air ketum dan ubat batuk yang dirampas dalam operasi itu. Air ketum dan ubat batuk yang dirampas dalam operasi itu.
1 /

BALING - Sebanyak 100 botol ubat batuk dan 18 bungkus air ketum berjaya dirampas dalam operasi pencegahan jenayah oleh polis baru-baru ini.

Rampasan di buat di belakang sebuah rumah di sebuah kampung di sini pada jam kira-kira 12 tengah hari itu dengan kerjasama Pasukan Relawan Malaysia (Rela).

Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang berada dalam rumah tersebut turut ditahan dipercayai terlibat dalam pemprosesan bahan terlarang itu.

Operasi terbabit diketuai Ketua Cawangan Narkotik Baling, Inspektor Marafendi Marzuki.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, lelaki terbabit dipercayai memproses dan menjual air ketum di kawasan sekitar Baling.

Menurutnya, penahanan lelaki terbabit merupakan kali kedua selepas terlibat dengan kesalahan sama sebelum ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membelakangkan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, lelaki terbabit kini ditahan dan disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan 30(3) Akta Racun.

Sebelum ini, polis cawangan narkotik turut menahan hampir 30 penagih dadah dalam satu serbuan di Kampung Badang minggu lalu.