SEMPENA Syawal yang bakal tiba, stesen televisyen TV3 tidak ketinggalan menyediakan pelbagai program menarik buat penonton setianya.

Bermula dari 8 hingga 24 Ogos, pelbagai rancangan seperti filem, telefilem, majalah dan dokumentari, variasi, muzikal serta program kanak-kanak telah disusun bertemakan Anugerah Syawal.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, TV3 dan TV9, Sherina Nordin, sebagai stesen pertama pilihan penonton, pihaknya perlu memastikan setiap rancangan yang dipilih menepati selera mereka.

"Kita tidak hanya fokus kepada program di dalam negara sahaja, bahkan terdapat juga dari luar negara termasuklah yang diterbitkan sendiri oleh produksi kami.

"Kami yakin, tahun ini TV3 mampu meraih kadar penonton yang lebih tinggi dan terus mendominasi penonton Melayu di sepanjang minggu Aidilfitri," katanya di majlis sidang media Anugerah Syawal TV3, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti yang terlibat dalam program Raya TV3 seperti Adi Putra, Nora Danish, Fiza Sabjahan, Aiman Hakim Ridza, Nelydia Senrose, Amar Asyraf, Tasha Shilla, Nad Zainal, Akim, Azlee Khairi, Fouziah Gous, Eja, Watie Sadali, Zul Yahya, Nadia Mustafa, Faradhiya, Faezah Elai, Johan As’ari,
Shamsul Ghau Ghau, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Azwan Kombos, Syazwan Zulkifly, Emma Maembong, Zain Saidin, Achey serta Bocik.


Lantik duta, cipta lagu raya

Dalam pada itu, seiring dengan kempen Anugerah Syawal TV3, pihaknya turut memperkenalkan lapan selebriti popular sebagai Duta kempen raya TV3 tahun ini.

Jelas Sherina, mereka adalah Adi Putra, Nora Danish, Fiza Sabjahan, Amar Asyraf, Nelydia Senrose, Aiman Hakim Ridza, Tasha Shilla dan Neelofa.

"Kami menyinari Aidilfitri tahun ini bersama bintang-bintang ternama Malaysia.

"Ini kerana kami yakin, dengan kemunculan mereka di skrin, penonton akan lebih teruja," katanya.

Tambahnya, selain dipertanggungjawabkan mempromosi program di kaca televisyen dan radio, wajah duta Anugerah Syawal TV3 juga menghiasi rantaian poster khas di beberapa lokasi utama seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur, papan iklan di Lebuh raya Sg Besi/Seremban dan Persekutuan.

Lebih menarik, Media Prima telah bekerjasama dengan Bunkface dalam menghasilkan sebuah lagu raya baru yang berjudul Anugerah Syawal yang dihasilkan dalam dua versi iaitu Pop Rock dan Akustik.

Kata Izham, selain diperkenalkan sebagai lagu tema kempen raya di bawah rangkaian televisyen Media Prima, lagu tersebut juga akan dipromosikan di semua platform Media Prima Berhad termasuk rangkaian radio, digital media dan media cetak.

“Walaupun pertama kali mencipta lagu raya, Bunkface telah membuktikan kemampuan mereka dengan melahirkan sebuah karya yang hebat," katanya yakin lagu raya ini akan menjadi siulan.


Variasi program menarik

Dalam pada itu, Syawal kali ini pastinya lebih bermakna menerusi tayangan eksklusif di TV3 yang menampilkan filem-filem blockbuster seperti Apa Celop Toqq (tayangan eksklusif di TV3), Lagenda Budak Setan, Adnan Balik Raya, Kongsi, Ngangkung, Khurafat, The Fast & The Furious: Tokyo Drift, Hantu Gangster, Setia Hujung Nyawa Raya, Karlos Bolos dan Abang Long vs Kak Yong.

Tidak ketinggalan, telefilem istimewa Hari Raya yang menyentuh perasaan seperti Abah Tak Balik Malam Raya, Raya Pak Pak Pong, Ijab & Kabul, Malaikat Di Pintu, Lebaran Kasih, Baju Raya Kain Perca dan banyak lagi.

TV3 juga menyediakan program hiburan, variasi, muzikal dan drama komedi terbaik untuk tontonan bersama kaum keluarga seperti Sampaikan Raya, Melodi Raya, Dikir Stail, Kecoh Pengacara Beraya, Music Box Raya, Bintang Mencari Bintang Raya, Tunggu Sekejap Raya, Konsert Anuar Zain, OMG Hero Kampung, Ayam Ribut Syawal, Senario Misteri Malam Raya, Edisi Khas Raya, Bas King Raya dan Rahsia Tok Pian.

Selain daripada program-program ini, rancangan berbentuk Majalah & Dokumentari juga turut menambah kemeriahan Hari Raya anda di TV3. Antara program menarik yang akan ditayangkan adalah Malaysia Hari Ini (MHI) Khas Raya, Jejak Rasul Raya, Kisah Mualaf, Unsung Places, Budak Zapin, Ceritaku dan Nona Raya.

Selain itu, jangan ketinggalan untuk saksikan program-program khas yang dibawakan oleh Bananana! kepada kanak-kanak seperti Bananana! Squad VS Idola Kecil 5 Raya, Bola Kampung The Movie, Res Q Kids Raya, I Heart Kurma, Seringgit Kasorga dan Coklat Maraton.