SETELAH sekian lama menanti, pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) hari ini secara rasminya membuat pratonton model SUV pertama keluaran syarikatnya kepada media yang diadakan di Pusat Reka Bentuk PROTON Shah Alam. Sesi pengenalan ringkas ini memberikan satu pandangan menarik di kalangan media dan yang mana masing-masing mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri terhadap model baharu ini.

PROTON mengumumkan nama kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi sebagai Proton X70.

Ketua Reka bentuk PROTON, Azlan Othman berkata, silhouette yang diukir bersama garisan penuh energik telah diinspirasikan daripada bentuk berotot dan kelincahan seekor kucing. Lebih tepat lagi, bentuk tersebut digambarkan dari keluarga kucing yang besar, seperti Harimau Malaya, di mana bentuk tersebut memberikan rasa momentum kehadapan.

Ianya turut dikaitkan dengan lampu hadapan serta lampu siang yang memberi gambaran seakan sepasang 'mata' yang menjadikan SUV ini dikenali tanpa mengira persekitaran pemanduan.

Bagi membezakan rekaan antara SUV Proton dengan model asal dari Geely, Azlan bersama pasukan perekanya sudah melakukan beberapa perubahan pada bahagian luaran agar kekal unik dan menepati cita rasa rakyat Malaysia.

Antara perubahan paling ketara adalah pada bahagian gril yang memiliki reka bentuk diinspirasikan oleh busur yang melambangkan ketangkasan, kecepatan dan ringan. Begitu juga dengan lencana PROTON pada pertengahan gril tersebut selain diapit dengan gril tiga bar hitam mendatar.

Jika diperhatikan secara teliti, rekaan bar itu mempunyai corak pengulangan tersendiri yang diilhamkan oleh ketukangan Malaysia dan warisan semula jadi kita.

"Kami memasukkan unsur-unsur unik yang terdapat di Malaysia dan menerapkannya dalam reka bentuk kami untuk menghargai keunikan dan kekayaan persekitaran, tradisi dan warisan kita.

"Dengan mencerminkan ketukangan dahulu kala, kami telah membangun dan mengembangkan seni ukiran kayu tradisional ke dalam susunan reka bentuk yang kami panggil Infinite Weave," jelas Azlan.

Pada bahagian dalaman, unsur-unsur kemewahan seperti kulit Nappa, sentuhan aksen aluminium dan skrin sentuh menghasilkan suasana yang mewah, ketukangan dan teknologi.

Garisan-garisan dalaman yang elegan telah diinspirasikan daripada kombinasi antara permukaan gelap dan terang manakala sentuhan Malaysia ditambah untuk menimbulkan corak Infinite Weave, yang dibawa ke bahagian dalaman melalui gril pembesar suara dan pembuka pintu di bahagian dalam.

Apa yang paling menyerlahkan identiti Proton adalah melalui ikon lambang PROTON yang diletakkan pada stereng kereta.