UNDIAN dalam talian yang dilancarkan Proton di laman sosial Facebook yang menjemput orang ramai untuk mengundi nama SUV pertamanya itu telah menarik maklum balas yang memberangsangkan dalam tempoh seminggu. 

Sehingga 11 April, lebih daripada 69,000 pengguna Facebook telah mengambil peluang dalam undian ini manakala video yang di kongsikan bersama undian itu telah mendapat lebih daripada 165,000 tontonan. 

Seramai lebih 1,000 pengguna turut berkongsi mengenai undian tersebut melalui halaman Facebook mereka, secara tidak langsung mendorong kepada peningkatan jumlah undian. 

Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, SUV baharu ini merupakan titik tolak yang bermakna dan Proton mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia kerana ia juga merupakan simbol pencapaian untuk negara. 

“Kami tidak menjangkakan jumlah penyertaan sebanyak ini dalam jangka masa yang singkat dan amat terharu dengan sambutan yang diterima kepada SUV segmen premium pertama yang dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia ini.

“Sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang turut serta dalam undian ini, baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada para peserta dan pelbagai tawaran hadiah menarik kepada pencadang nama bagi model SUV baharu ini,” katanya.

Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut.