SEJAK pengenalan di peringkat global, Toyota C-HR serba baru menerima sambutan hangat di semua pasaran di mana ia telah dilancarkan. Selain penampilan yang unik dan menarik, model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini telah banyak digunakan pada model-model baru Toyota. 

SERBA LENGKAP 

Untuk pasaran Malaysia, C-HR diperkenalkan hanya dalam satu varian, dengan enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan. Ciri-ciri keselamatannya termasuk ABS sebagai standard, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).

C-HR juga dilengkapi ciri Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk mengelakkannya daripada mengundur ketika mula bergerak di permukaan curam.

GAYA MODEN

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model-model Toyota yang sebelumnya menggabungkan penggayaan moden dengan fungsi termaju. Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID). 

Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

HARGAI PELANGAN

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, pihaknya telah menyerahkan 50 unit crossover kompak Toyota C-HR serba baru kepada pemilik terawalnya dalam sebuah acara yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ujarnya, sejak mula dipertontonkan tahun lalu, minat ditunjukkan terhadap CHR sangat menggalakkan yang memberikan petanda positif. 

"Setakat ini, kami menerima lebih kurang 1,500 tempahan dan disebabkan ia merupakan model yang begitu unik dan bermakna, kami ingin ambil kesempatan untuk menyerahkannya sendiri kepada 50 pemilik terawal kami. 

“Toyota sentiasa berterima kasih atas sokongan yang diberikan para pelanggan. Untuk itu, kami juga ingin memastikan pengalaman pemilikan yang terbaik buat semua, dengan servis dan penyelenggaraan dilakukan oleh juruteknik terlatih khusus untuk model CHR, dan stok alat ganti yang tersedia sepanjang masa, sekiranya diperlukan. 

"Selain itu, model yang dibeli hanya dari UMW Toyota Motor dan pengedar sahnya akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan,” tegasnya.