SUDAH menjadi lumrah atau kebiasaan bila seseorang individu berjiwa motorsport dan gemar membuat pengubahsuaian apabila membeli sebuah kereta, langkah pertama yang diambil dalam pengubahsuaian kenderaan biasanya bermula dengan menukar Rim tayar standard kepada Rim Sport. 

Sebabnya, dengan hanya menukar sport rim sahaja perwatakan sesebuah kereta terus berubah dari wajah standard kepada nampak lebih garang dan ala-ala ‘racing’ atau dari wajah standard kepada nampak lebih klasik serta lebih ke arah VIP konsep. 

Namun, sebelum anda mulakan langkah-langkah awal penukaran sportrim, anda seharusnya kenali dulu jenis-jenis rim yang akan ditukar supaya ianya sesuai dengan jentera anda. Minggu ini ruangan Tip Pengguna akan berkongsi beberapa tip penting sebelum anda menukar Rim Sport. 

Kelebihan menggunakan rim sport

1 Memantapkan kenderaan terutama ketika mengambil selekoh disebabkan tayar yang digunakan berukuran lebih lebar.

2 Pemasangan rim sport juga meningkatkan keyakinan pemandu ketika anda membrek memandangkan kenderaan sentiasa berada pada kedudukan yang cukup seimbang.

Kenali Spesifikasi Kereta

Perkara utama pastikan rim yang ingin ditukar benar-benar sesuai dengan spesifikasi kereta. Biasanya pemilik akan menukar 2 ke 3 inci lebih saiz rim yang lebih besar daripada saiz rim asal yang agak sesuai seperti :-

Jentera cc 1.3

(sport rim digunakan 14 inci)

Jentera cc 1.3-1.6

(sport rim digunakan 15 inci)

Jentera cc 1.6-2000

(sport rim digunakan 16 inci)

Jentera 2000cc

(sport rim yang sesuai 18-21 inci)

Penting dapatkan nasihat daripada kedai tayar untuk mendapatkan saiz rim dan tayar yang sesuai untuk kereta anda. Pastikan lebar rim sesuai dengan tayar yang nak digunakan tidak banyak berbeza dengan ukuran asal apabila anda menukar rim asal dengan rim sport.

Ukur (LEBAR/KETEBALAN TAYAR/RIM SAIZ)

Sebelum membeli sport rim kita perlu menganggar ukuran antara rim dengan tayar kereta bagi mengelakkan tersalah membeli rim.

Cara mengukur:

1. Betulkan Kedudukan tayar dalam keadaan lurus, ukur ketinggian maksimum antara tanah dengan ruang tayar.

2. Pasang sport rim dan tayar kemudian lihat sama ada masih ada ruang lagi tak antara tayar dengan absober spring supaya tidak Bersentuhan dengan body fender kereta. (tayar tidak bergesel dengan body)

3. Akhir sekali, pusing tayar kekiri dan kekanan untuk mengukur selebar mana pusingan tayar itu supaya tidak terkena pula pada dinding dalaman ruang tayar.

  • Kalau mengguna sport rim yang terlalu besar dan tayar terlalu tebal boleh menyebabkan tayar dengan fender terlalu rapat.
  • Kereta juga akan menjadi sedikit tinggi dan secara automatik pusat graviti juga tinggi dan menyebabkan jentera tidak stabil.
  • Jika anda menggunakan tayar tipis atau kecil maka jauh la sikit jarak antara tayar dan fender.
  • Perlu diingat risiko pakai tayar nipis jika langgar lubang boleh menyebabkan tayar meletup serta sport rim cepat bengkok.