KINI kereta transmisi automatik menjadi pilihan ramai kerana lebih mudah dikendalikan berbanding kereta transmisi manual. Jika di bandar, kereta gear automatik sangat membantu dengan pemanduan yang tidak memerlukan banyak tenaga untuk menukar gear serta menekan pedal klac terutama ketika memandu dalam trafik yang penuh sesak.

Ramai yang sudah maklum cara asas untuk menukar gear namun mungkin ada segelintir pengguna masih terlepas pandang berkenaan cara penggunaan gear yang betul. Menukar gear dengan cara salah boleh menyebabkan gearbox anda rosak dan kos memperbaikinya juga mahal.

Jadi untuk mengelakkan kerosakan gearbox dan anda menanggung kerugian besar, minggu ini ruangan tip pengguna akan berkongsi tip serta cara yang betul untuk menukar gear jenis auto.

Jangan tukar gear ‘P’ Apabila berhenti di lampu isyarat,

Pasti anda akan perasan kereta di hadapan masuk gear P. Bagaimana anda boleh tahu? Sangat mudah, anda boleh lihat lampu undur kereta di hadapan akan menyala seketika semasa berhenti. Cuba anda bayangkan jika pemandu tersebut terkejut disebabkan lampu isyarat bertukar hijau dan kereta di belakang sudah mula menekan hon. Secara automatik pemandu tersebut akan menekan pedal minyak dahulu dan baru menukar gear D. Risiko yang akan dialami adalah gearbox akan cepat rosak. Apa yang perlu anda lakukan adalah :

Ketika berhenti di lampu isyarat

1. Tekan brek kaki

2. Masuk gear N tanpa menekan tombol pada gear

3. Tarik brek tangan

4. Lepas brek kaki

Untuk meneruskan perjalanan

1. Tekan brek kaki

2. Masuk gear D tanpa menekan tombol pada gear

3. Lepas brek tangan

4. Lepas brek kaki

5. Tekan minyak

Penggunaan Tombol Pada Gear

Berikut adalah antara situasi menukar gear yang perlu anda menekan tombol gear.

P > R

R > P

R > N

N > R

D > L

L > D

Jangan sesekali tekan tombol gear semasa menukar gear seperti:

N > D

D > N

Salah satu sebab mengapa anda perlu menukar gear dengan betul adalah untuk mengelakkan daripada anda terlajak menukar gear dan sekiranya anda terlajak, gearbox juga akan mudah rosak. Sebagai contoh semasa ingin berhenti kereta, anda ingin menukar dari gear D ke N. Oleh kerana anda menekan tombol gear, berkemungkinan tinggi anda akan tertolak ke gear R tanpa sengaja. Ini akan menyebabkan gearbox boleh rosak akibat daripada pertukaran mengejut dari D terus ke R.

Susunan gear

P – Parking, digunakan untuk anda memberhentikan ataupun meletakkan kereta anda. Pada kedudukan ini, gear akan disekat dan kereta anda tidak bergerak walaupun brek tangan tidak ditarik.

R – Reverse, untuk mengundurkan kereta.

N – Neutral, digunakan semasa dalam situasi menunggu lampu isyarat atau kesesakan di jalan.

D – Drive, penukaran secara auto gear 1, 2, 3 dan 4.

Bagi sesetengah kereta auto terdapat fungsi tambahan gear seperti berikut:

3 – 3rd gear sesuai digunakan untung memotong ataupun menukar gear 4 ke 3.

2/L2 – 2nd gear sesuai digunakan ketika menuruni bukit.

1/L1/ L – Lower gear digunakan semasa mendaki bukit.