PERODUA Myvi baharu sekali lagi mencatat kejayaan dengan jualan keseluruhan 38,000 unit setakat minggu ketiga April 2018. 

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pencapaian ini amat bermakna bagi kami kerana Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan bahawa Perodua telah mencapai penguasaan pasaran 41.5% pada bulan Mac lalu. 

“Kami amat gembira dan bersyukur kerana telah mencapai keputusan ini pada penghujung April lalu.

“Pada perkiraan kami, Myvi telah memperoleh 70,000 tempahan dari 8 November 2017 sehingga 30 April 2018 dan kami amat terharu dengan sambutan yang diterima,” katanya. 

Menurut angka MAA, bermula Januari sehingga Mac, Perodua menjual 55,568 kenderaan berbanding 135,140 unit jumlah keseluruhan industri (TIV), membawa lebih 41% bahagian pasaran untuk suku pertama tahun 2018. 

Pencapaian ini Merupakan peningkatan lebih daripada 10.5% berbanding 50,260 unit yang didaftarkan pada suku pertama tahun 2017, menjadikannya rekod suku pertama bagi Perodua dari segi jualan. 

Jualan 55,560 unit tersebut terdiri daripada 24,473 Myvi, 14,962 Axia, 10,101 Bezza dan 6,032 Alza. Sebanyak 18% daripada semua kenderaan baharu yang didaftarkan di Malaysia pada suku pertama 2018 adalah model Myvi. 

“Kami amat berterima kasih kepada para pelanggan kami secara khususnya dan seluruh rakyat Malaysia secara amnya atas sokongan berterusan yang telah diberikan kepada Perodua dan pihak kami juga sedang berusaha meningkatkan kecekapan operasinya bagi memastikan penghantaran dapat dibuat dalam masa yang terdekat. 

"Tempoh menunggu semasa untuk varian Myvi 1.5L adalah di bawah tiga bulan. Walau bagaimanapun bagi varian 1.3L, ianya boleh dihantar dengan segera buat masa ini," katanya.