SEJAK pelancarannya pada tahun 2010 varian SYM Bonus menjadi penanda aras bagi moped yang kompetitif di Malaysia dan juga diterima baik oleh rakyat Malaysia.

Kini, SYM Bonus kembali dengan 3 variasi yang memenuhi piawaian EURO 3. Variasi yang ditawarkan adalah E Bonus 110, E Bonus 110 H dan Bonus 110SR.

Kesemua variasi dilengkapi enjin 108cc, SOHC, 2 injap dan penyejuk udara. Enjin ini juga mematuhi piawaian EURO 3 dan menawarkan 7.1hp pada 7500rpm.

Keseluruhan kuasa ini dihantar ke roda belakang melalui transmisi rotari 4 kelajuan. Siri Bonus dilengkapi dengan brek drum depan dan belakang untuk variasi E Bonus 110 dan E Bonus 110 H manakala Bonus 110SR pula dilengkapi cakera brek di depan dan drum di bahagian belakang.

E Bonus 110 dilengkapi dengan rim jejari manakala variasi E Bonus H dan Bonus 110SR dilengkapi “sport” rim.

Soket USB juga ditawarkan untuk variasi Bonus 110SR manakala sistem suspensi pula dilengkapi fork teleskopik di bahagian depan dan penyerap kejutan spring di bahagian belakang ditawarkan bagi semua variasi.

SYM E Bonus 110 dijual pada harga RM3,768.00, manakala E Bonus 110 H dijual pada harga RM3,898.00 dan Bonus 110SR dijual pada harga RM4,278.00 (Semua harga tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Variasi E Bonus 110 boleh didapati dalam warna biru, hitam dan merah bermula dari bulan September manakala variasi E Bonus H dan Bonus 110SR boleh didapati pada bulan November.