TOUCH ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) baru-bari ini memaklumkan perkhidmatan selepas jualan bagi peranti SmartTag model OBU 33O bakal ditamatkan berkuatkuasa 1 Julai 2018.

Notis mengenai penamatan perkhidmatan selepas jualan SmartTAG OBU 330 telah dikeluarkan dalam satu kenyataan rasmi oleh pihak Touch ‘n Go sendiri Menurut laporan, peranti tersebut telah berada di pasaran dan beroperasi selama lebih dari 10 tahun.

Namun, bagi pelanggan yang masih menggunakan peranti SmartTAG model tersebut masih boleh menggunakannya seperti biasa kerana ia tidak menjejaskan fungsi operasi peranti itu.

Selain itu, bagi pelanggan yang telah menghantar peranti SmartTAG OBU 330 untuk diselenggara, pihak Touch ‘n Go masih akan terus menyelenggara peranti tersebut sehingga selepas tarikh 1 Julai 2018 nanti.

Namun demikian, selepas tarikh 1 Julai ini, TNGSB tidak akan menerima sebarang permintaan untuk membaiki model ini dan memohon maaf jika para pelanggan mengalami kesulitan berkaitan dengan perkara ini.