SELEPAS mengumumkan pendaftaran UD Extra Mile Challenge (UDEMC) tahun ketiga yang dibuka bulan lalu, pencarian juara tempatan pemandu paling efisien dan berkemahiran UD Quester di Malaysia yang mampu menyerlahkan nilai dan semangat jenama UD Trucks kini telah bermula.

UDEMC yang dianjurkan UD Trucks dan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), merupakan satu pertandingan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pemandu melalui peningkatan kemahiran and pengetahuan mereka untuk memaksimumkan keupayaan trak tugas berat UD Quester.

Pemandu trak adalah golongan wira tidak di dendang yang menyumbang kepada ekonomi dengan melintasi seluruh negara demi menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dengan bantuan logistik pintar menerusi ciri-ciri inovatif yang tersedia pada UD Quester, mereka kini boleh merancang dan menguruskan tugas secara lebih efektif.

Ini pastinya dapat menjimatkan penggunaan bahan api, mengurangkan kos syarikat dan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua. UDEMC merupakan pertandingan yang pertama kali dianjurkan oleh jenama trak Jepun di Malaysia.

Pemenang akan mewakili Malaysia di peringkat Akhir Global di Jepun pada hujung tahun ini. Juara akan membawa pulang baucar alat ganti Quester bernilai RM2,000 dan satu sesi latihan pemandu eksklusif yang akan diadakan di syarikat pemenang untuk kesemua pemandu yang lain. Setiap pemenang bagi kategori pula akan membawa pulang baucar alat ganti Quester bernilai RM500.