JUALAN kereta meningkat 50% berbanding bulan lepas dengan sebanyak 6,173 kereta Proton dijual kepada rakyat Malaysia yang telah mengambil kesempatan daripada tawaran GST berkadar sifar serta promosi Duit Raya yang ditawarkan oleh PROTON.

Pegangan pasaran hampir 10% dengan Saga dan Persona yang mendahului jualan Seiring dengan kenaikan jualan ini, jumlah pegangan pasaran turut meningkat di mana PROTON berjaya memperoleh lebih kurang 10% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jun berbanding 9.5% pada sebelum ini. Sama seperti bulan-bulan sebelum ini, Saga dan Persona terus mendahului jualan dengan jumlah pendaftaran hampir 3,000 unit dijual.

Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar, Abdul Rashid Musa berkata, pembeli tertarik dengan kelebihan yang ada pada sedan kompak keluarga PROTON ini kerana ianya yang paling mampu milik, keluasan dan pengendaliannya serta promosi harga Saga Terbaik dalam jangka masa 10 tahun dengan tawaran harga di bawah RM30,000.

Tambahnya lagi, kualiti produk yang telah ditambah baik untuk semua kereta Proton juga merupakan faktor penyumbang kerana pelaksanaan sistem Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) telah menunjukkan pengurangan yang ketara bagi mata demerit pengeluaran.

“Bulan Jun merupakan bulan terbaik dalam tahun 2018 bagi penjualan PROTON, yang mana membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih terus tertarik dengan kereta-kereta Proton dan ini merupakan hasil daripada pelbagai ciri yang telah direka bentuk untuk setiap model.

“Pelbagai promosi menarik yang kami tawarkan, dengan GST yang berkadar sifar dan peningkatan keseluruhan kualiti kereta kami juga membantu meningkatkan jualan, di mana kami harap dapat dikekalkan sehingga ke akhir tahun 2018,” katanya.