PERODUA memperkenalkan aplikasi terbaru mudah alih di bawah jenama GearUp yang dikenali dengan GearUp Smart Bluetooth TPMS (Tyre Pressure Monitoring System). 

Aplikasi ini membenarkan pemandu memeriksa tekanan tayar kenderaan mereka pada bila-bila masa. 

GearUp Smart Bluetooth TPMS ini ditawarkan pada harga promosi RM385 sehingga 30 Jun ini. Harga pasaran selepas tarikh promosi akan menjadi RM430 untuk pengguna Semenanjung Malaysia dan turut diberi jaminan selama enam bulan. 

Pengarah Urusan Jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin berkata, Perodua merupakan syarikat pengeluar pertama di Malaysia yang menawarkan sistem pemantauan tekanan tayar mesra peranti pintar sebagai sebuah aksesori yang original. 

“Sistem GearUp Smart Bluetooth TPMS ini direka dan dibangunkan sendiri anak tempatan. 

“Perodua dengan bangganya ingin menjadi sebuah syarikat yang menjadi perintis kepada penghasilan produk tempatan dan sekali gus menyumbang kepada ekosistem automotif negara,” katanya.

Produk ini terdiri daripada empat sensor individu yang dipasang di setiap tayar dan sebuah peranti pintar mudah alih. Dengan menggunakan sambungan Bluetooth, segala maklumat berkenaan keadaan semasa tayar akan disalurkan kepada peranti pintar tersebut. 

Sekiranya bacaan semasa menunjukkan pengurangan sebanyak 8% daripada bacaan yang dibenarkan, pemandu akan menerima notifi kasi berbentuk bunyi beep dan peranti tersebut akan Memaparkan lokasi tayar yang bermasalah itu menerusi bantuan cahaya. 

Bagi Mengelakkan masalah kecurian yang semakin berleluasa, produk GearUp Smart Bluetooth TPMS ini boleh dikunci Menggunakan spanar lock nut yang turut dibekalkan.