PERODUA menawarkan lebih nilai kepada rakyat Malaysia dengan kemunculan Bezza GXtra, varian baharu yang menggantikan 1.0 Standard G dalam julat model Bezza yang popular. 

Ditawarkan pada harga pengenalan sebanyak RM35,500 untuk manual dan RM37,500 untuk automatik, atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia, Bezza GXtra dilengkapi dengan waranti lima tahun/150,000 km. 

Pelancaran Bezza GXtra dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak di Malaysia Autoshow 2018, bertempat di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS). Turut hadir Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

LEBIH MENARIK

Varian Bezza peringkat asas baharu ini mempunyai skirt sisi dan pemegang pintu luar krom, dan kini boleh didapati dalam warna ‘Ocean Blue’ yang sebelum ini hanya ditawarkan pada varian-varian 1.3L. 

Dari segi dalaman, penambahan trim mencetus suasana keunggulan. Papan pemuka dan panel audio dihiasi ‘piano black’, manakala corong udara, sayap stering serta tapak gear dihiasi trim berwarna terang. Bluetooth turut termasuk dalam sistem audio.

PALING LARIS

Bezza merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan menjadi sedan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) paling mampu milik di Malaysia. Sejak pelancarannya pada pertengahan 2016, ia telah menjadi sedan paling laris di Malaysia, dengan hampir 100,000 unit dijual sehingga kini. 

Varian baharu ini dikuasakan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan VVT-i (Variable Valve Timing – Intelligent), dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan E-AT (kawalan elektronik). Penggunaan bahan api yang cekap diteruskan daripada sebelumnya, iaitu 22.8 km/l bagi varian manual dan 21.3 km/l bagi varian automatik.

DEDIKASI BERTERUSAN

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua. Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, sebagai jenama automotif No 1 di Malaysia, Perodua amat berbangga kerana dapat memperkenalkan Bezza GXtra di Malaysia Autoshow 2018, antara pameran permotoran utama tahun ini. 

“Bezza GXtra baharu adalah dedikasi berterusan Perodua buat para pelanggan kami kerana ia dibangunkan berdasarkan maklum balas. 

"Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sentiasa memberi perhatian kepada keperluan dan kehendak pelanggan. 

"Kami akan terus menambah baik produk dan perkhidmatan kami untuk meningkatkan lagi tahap kepuasan pelanggan kami,” katanya.

JADI PILIHAN

Dr Aminar turut menjelaskan, Bezza telah menjadi pilihan ramai keluarga kecil di Malaysia kerana kebolehpercayaannya, kos pemilikan yang rendah, pemanduan yang mudah dan ruang yang luas. 

“Bezza GXtra mewakili langkah seterusnya dalam jangka hayat model ini. 

Dengan menyediakan spesifikasi trim yang setanding dengan Bezza 1.3 Premium X, kami memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan berbanding sebelumnya,” katanya.