PERODUA baru-baru ini telah menganjurkan program keselamatan jalan raya selama sebulan untuk 8,000 kakitangannya, yang mana hampir 7,000 akan pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan lalu.

Inisiatif selama sebulan ini adalah sebagai peringatan kepada para pengguna jalan raya mengenai peraturan asas serta tip keselamatan berguna yang mampu menjimatkan masa dan wang ketika dalam perjalanan pulang untuk bertemu keluarga tersayang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, perjalanan pulang semasa musim perayaan adalah lebih mencabar kerana terdapat banyak kenderaan di atas jalan raya.

“Penting untuk kita terus bertenang, berwaspada dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, “ katanya.

Program keselamatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua yang dilancarkan pada Oktober 2017, sebuah projek selama 5 tahun bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan peraturan asas jalan raya bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.