BMW Group Malaysia memperkenalkan kenderaan keluaran terbaharu dikenali sebagai BMW X3 yang akan dipasang di dalam negara (CKD) buat julung kalinya. 

Ini membuktikan komitmen BMW Group Malaysia untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, dan langkah ini juga menitikberatkan Malaysia sebagai sebuah hab bagi BWM Group di rantau Asia Tenggara. 

Pengarah Urusan merangkap CEO BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, berdasarkan sejarah industri automotif premium, jentera inilah yang mewujudkan segmen premium SAV bagi kenderaan bersaiz sederhana pada tahun 2003. 

“Ini merupakan contoh terbaik untuk menggambarkan inisiatif BMW demi membentuk masa hadapan.” tambah beliau. 

BMW X3 menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris TwinPower bersesaran 2.0 liter dengan sistem pengecasan turbo TwinScroll, suntikan bahan api High Precision Injection, kawalan aci sesondol Double-VANOS dan pemasaan injap boleh ubah Valvetronic.

X3 mampu menjana sebanyak 252 hp dengan kuasa tork yang mencecah 350 Nm. Kuasa ini kemudian dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan sebelum disalurkan ke roda.

X3 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat kelajuan maksimum yang dicatatkan sebanyak 240 km/j.

Terdapat penawaran warna yang serba baharu seperti coklat Terra, hitam Sapphire, perak Glacier, dan putih Alpine. Manakala ruangan dalaman pula dikemaskan dengan penggunaan warna hitam Vernasca dan Vernasca Mokka yang khusus untuk pilihan warna putih Alpine dan hitam Sapphire.

Model terbaharu BMW ini Dijangka Memasuki pasaran bermula 25 April 2018 melalui pengedar-pengedar sah BMW di seluruh negara dengan penghantaran dijadualkan bermula Julai 2018.

Tempahan untuk model baharu ini sudah dibuka dan harga anggaran bermula dari RM320,000.