BMW Group Malaysia telah melantik Millennium Welt sebagai wakil terbaharunya bagi jenama BMW Motorrad di Kuantan serta Rantau Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, BMW Group melihat potensi yang besar untuk perkembangan di kawasan Pantai Timur bagi motosikal premium, dan Millennium Welt merupakan rakan niaga yang berharga buat kami kerana kebolehan mereka untuk menunaikan janji penawaran pengalaman premium BMW bagi pelanggan kami di Kuantan.

“Kami percaya bahawa mereka merupakan pilihan terbaik untuk terus memperkukuhkan kedudukan kami di rantau tersebut dan kini meluaskan lagi penawaran pengalaman premium kami kepada penggemar motosikal di kawasan Pantai Timur,” katanya.

Millennium Welt tidak asing dengan BMW Group Malaysia, dan ia mempunyai pencapaian yang terbukti sebagai wakil jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad di Seremban juga sebagai wakil jenama BMW di Batu Pahat dan Kuantan.

Tambahnya lagi, pada majlis Anugerah Pengedar ke-8 yang dianjurkan oleh BMW Group Malaysia pada awal tahun ini, Millennium Welt berjaya merangkul 13 anugerah, termasuk BMW Excellence Club Award.