EDISI keempat pameran tahunan Malaysia Autoshow akan diadakan mulai 26 hingga 29 April, 2018. Buat kali kedua berturut-turut, pameran akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang berikutan kejayaan besar yang dicapai oleh edisi Malaysia Autoshow sebelum ini pada November tahun lalu.

Mulai tahun ini, tarikh untuk Malaysia Autoshow akan dianjakkan dari November ke April untuk membolehkan lebih banyak aktiviti menarik dianjurkan di edisi yang akan datang.

Keputusan ini dibuat adalah kerana kebanyakan pameran automotif utama seperti di Tokyo, Frankfurt dan Paris berlangsung pada separuh kedua tahun.

Selain daripada mengelakkan kesesakan, tarikh baru pada April ini akan membolehkan Malaysia Autoshow menyediakan pelbagai jenis pameran yang lebih menarik dari seluruh dunia di masa akan datang seperti kenderaan konsep dan teknologi terkini berkaitan dengan pengangkutan dan mobiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive Institute (MAI), Datuk Madani Sahari berkata bahawa keputusan untuk mengadakan pameran di MAEPS pada tahun lepas membolehkan lebih banyak daya tarikan serta pengalaman baru disediakan sehingga mampu mencatatkan lebih 250,000 pengunjung.

“Tapak pameran yang luas membolehkan pandu uji kenderaan yang lebih lama dijalankan selain lebih banyak aktiviti luar dilaksanakan oleh jenama kereta yang menyertai terutamanya bagi menunjukkan pelbagai ciri istimewa produk mereka. Pengalaman sebenar yang dirasai oleh pengunjung sudah tentu menyumbang kepada penjualan yang lebih tinggi serta pandangan yang lebih positif terhadap apa yang mampu ditawarkan oleh industri automotif Malaysia,” Katanya.

Hampir kesemua jenama automotif terbesar di Malaysia akan mengambil bahagian dalam pameran tahun ini yang bertemakan ‘360-degree Mobility Experience’. Lebih 100 buah kereta termasuk model-model terbaru di pasaran serta kereta klasik Volvo akan dipamerkan.

Tiket masuk bagi Malaysia Autoshow 2018 adalah RM10 seorang. Masuk adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Pelajar juga diberi kemasukan percuma pada hari Khamis, 26 Mac 2018.