SERAMAI 33 wakil pengedar PROTON Holdings Bhd (PROTON) tempatan dibawa melawat ke Institusi Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou Bay, China baru-baru ini. 

lawatan pada awal Mac lalu telah membuka mata mereka kepada masa hadapan yang lebih cerah, apabila mereka menyaksikan sendiri teknologi yang sedang dibangunkan dan skop penyelidikan yang dilakukan oleh Geely. 

Berdasarkan pemerhatian salah seorang peserta program lawatan, Munauwir Mohd Khir, dari Edaran Saga Sdn Bhd, beliau berpendapat bahawa menerusi kaji selepas lawatan ke GRI, mereka dapat melihat bahawa Geely mengambil kira setiap perincian. 

“Dari perancangan hingga ke pelaksanaan, setiap penelitian dikaji untuk memastikan proses yang lancar. Setiap perkara dilakukan secara terkawal dan prosesnya begitu teratur, dari sesuatu ujian hingga ke produk akhir. 

“Saya juga memerhatikan bahawa mereka mengikut dan amat mematuhi peraturan yang ketat dan ini adalah sangat baik," katanya. 

Manakala menurut Mohd Nazrin Mohamad Fozi dari Rahman Brothers Automotive Sdn Bhd, berkata lawatan ke GRI itu tidak seperti yang dijangkakan. 

“Saya sangat menikmati lawatan ke GRI ini. Ia menonjolkan keupayaan teknologi Geely dan masa depan industri automotif. 

“Saya boleh bayangkan sekiranya teknologi seperti ciri keselamatan canggih dan terkini dimasukkan ke dalam kereta Proton, kita pasti akan menjadi peneraju utama kereta di Malaysia dan antarabangsa dan saya membayangkan masa depan yang sangat menarik melalui perkongsian dengan Geely,” katanya. 

Mengulas lanjut PROTON berkata, Geely turut membawa delegasi PROTON ke pusat pengujian rangkain kuasa, Pusat Ujian Kenderaan dan Kilang Rintis.