NAZA Kia Malaysia Sdn Bhd (NKM), pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, melancarkan model sedan terbaharu yang dikenali sebagai sport Kia Stinger bertempat di Naza Kia Malaysia, Red Cube, Petaling Jaya baru-baru ini.

Berkonsepkan Grand Turismo (GT), KIA Stinger menampilkan prestasi tinggi dan keselesaan yang maksimum semasa pemanduan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, untuk memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia, Naza Kia Malaysia memperkenalkan dua varian Kia Stinger, 3.3-liter (L) V6 GT berharga RM309,888 (harga atas jalan dan tanpa insurans) dan 2.0-liter GT-Line dengan harga atas jalan sebanyak RM239,888.

“Kami percaya Kia Stinger akan meningkatkan identiti jenama dan akan menjadi penanda aras kepada masa depan kenderaan Kia.

“Rekaan Kia Stinger dengan bayangan ‘fastback’ dan kedudukan pacuan roda belakang menjadikan ia tampil dengan elemen aerodinamik serta garis dan kontur pada pintu menyerlahkannya sebagai sebuah GT,” katanya

Tampil agresif

Kia Stinger juga tampil rupa agresif diperkuat dengan grill ‘tiger-nose’ Kia, menonjolkan dengan berbentuk sarang lebah, corak gelap yang berwarna hitam dan krom ditambah pada asas hitam untuk memastikan bahagian luar yang berkonsep premium.

Ditawarkan dalam 4 pilihan warna: HiChroma Red (merah), Deep Chroma Blue (biru), Panthera Metal dan Aurora Black (hitam). Varian 3.3L V6 GT ditawarkan dalam trim kabin merah, manakala 2.0L GT-Line, hitam.

Tambahan lagi papan pemuka Stinger direka lebih tinggi. Konsol tengah di bahagikan kepada dua bahagian serta sistem 'infotainment' dan skrin sentuh 8-inci dengan Navigasi yang disepadukan bersama sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Kawalan penyaman udara dan ventilator penyaman udara diletakkan di bawah. Rekaan papan pemuka Kia Stinger pula tampak ekslusif dalam kelasnya.

Kemudahan lain yang terdapat di Kia Stinger untuk keselesaan ketika pemanduan yang menyenangkan ialah Warna Display Head-Up (HUD), Dynamic Lending Light (DBL), Around View (AVM) dengan Memandu Monitor Belakang-Paparan (DRM), Sistem Memori Bersepadu (IMS) untuk kerusi pemandu, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan cermin sisi elektrochromik untuk mengawal silau lampu.

Nilai estetika Kia Stinger telah mendapat pengiktirafan dunia dengan penerimaan anugerah Eyes On Design for Production Car Design Excellence di North American International Auto Show (NAIAS) pada 2017. Bagi varian 2.0 liter, ia dikuasakan enjin pengecas turbo empat silinder Theta II T-G yang berkemampuan menghamburkan sehingga 251 kuasa kuda (hp) pada 6,200 rpm dan tork 353 Nm dari 1,400 - 4,000 rpm, dengan pecutan dari 0 ke 100 kilometer sejam (ksj) dalam masa 6 saat.

Bagi varian 3.3 liter pula, prestasinya adalah lebih berkuasa dibantu enjin turbo berkembar V6 Lambda T-GDi yang menghamburkan sehingga 365 hp pada 6,000 rpm dan tork 510 Nm dari 1,300 - 4,500 rpm dan hanya mengambil masa 4.9 saat untuk memecut dari 0 ke 100 ksj.

Sejak diperkenalkan pada Ogos 2017, Kia Stinger telah meraih pelbagai penghargaan di peringkat global daripada nama-nama yang berprestij dalam industri, antaranya ‘Best of the Year’ dan ‘Best Sports Sedan’ dalam MotorWeek’s 2018 Drivers’ Choice Awards dan ?2018 Shift Award Vehicle of the Year’ daripada Roadshow By CNET.