SIAPA kata minat dalam dunia motorsport dan modifikasi kereta adalah sekadar hobi? Bagi bekas jurutera yang pernah berkhidmat di salah sebuah stesen televisyen tempatan selama lebih 10 tahun, kegilaannya dalam dunia kereta hanya sekadar hobi pada awalnya, tetapi kini menjadi sumber rezeki dan pendapatan utamanya.

S. Shahrulidzafa Hisham, 47, berkata dia sama sekali tidak menyangka minat yang berputik sejak kecil itu membawa tuah padanya. Dek kerana sering bergelumang dengan minyak dan enjin kereta yang menjadi mainannya seharian pada usia muda menjadikan dia mula menaruh minat untuk memiliki perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Jebon (tengah) bersama sebahagian kakitangan Jebon Global Trading.

KEASLIAN TERJAMIN

Menurut Shahrulidzafa atau lebih dikenali dengan panggilan Jebon dalam kalangan pelanggan dan rakan-rakan, dia beranikan diri untuk memulakan perniagaan sekitar tahun 2010 secara kecil-kecilan sebagai ‘runner’ menjual alat ganti kereta terpakai dengan modal sebanyak RM2,000.

“Mulanya saya beli peralatan prestasi tinggi dan alat-alat ganti terpakai untuk kegunaan sendiri dan pernah menyewa sebuah rumah cuma untuk jadikan tempat simpan barang pada awal perniagaan dulu.

“Disebabkan faktor ekonomi yang tidak menentu, orang lagi suka pilih barangan ‘halfcut’ sebab murah serta keasliannya juga terjamin dan lama kelamaan saya berjaya kumpul modal atas keuntungan dan membuka bengkel pada tahun 2012,” katanya.

Sebahagian alat ganti terpakai yang terdapat di bengkel.

TAWAN HATI PELANGGAN

Ditanya rahsia kejayaan dalam perniagaan, menurut Jebon, paling utama adalah dengan memenangi hati pelanggan selaras dengan konsep yang diamalkannya sehingga kini iaitu ‘customer always right’.

Apa pun yang pelanggan komen atau tidak berpuas hati cubalah untuk terima dan pada masa sama perbaiki diri untuk betulkan kesilapan.

Salah seorang pekerja OKU diberi kepercayaan penuh oleh Jebon untuk laksanakan tugas yang diberikan.

“Sebagai pemain yang saya sendiri anggap masih baru dalam industri ini, saya sangat terbuka menerima teguran mahupun pendapat orang lain dan sentiasa mengutamakan keluh resah pelanggan.

“Selain itu modal yang tinggi ketika ingin mengembangkan perniagaan serta kos barangan dan alat ganti memerlukan saya mendapatkan bantuan daripadda banyak pihak untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Untuk berjaya, usahawan sepertinya harus memiliki perancangan masa depan selain tidak lokek berkongsi ilmu dengan menambah rangkaian bersama pemilik-pemilik bengkel lain.

Pada masa sama, ujarnya, dia juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka rangkaian bengkel terbesar alat ganti terpakai dan mengimpikan memiliki pusat servis 3S Honda miliknya satu hari nanti.

Kerja pendawaian diserahkan kepada yang pakar.

HOBI MAHAL

Sekadar mahu mengingatkan mereka yang gemar pada hobi modifikasi kereta, perkara paling penting untuk aktiviti ini adalah penyediaan wang yang secukupnya memandangkan ia menuntut pelaburan yang bukan sedikit.

“Bagi mereka yang serius inginkan modifikasi kereta yang memuaskan dan mempunyai impak, banyak wang perlu dilaburkan tetapi hasilnya pasti cukup puas dan menggembirakan. Senang kata ada duit semua jalan.

“Ini kerana, bagi mereka yang gila kereta, sekali modifikasi pasti tidak cukup. Ramai pelanggan di sini tidak datang hanya sekali. Mereka pasti datang buat kali kedua dan seterusnya untuk mencari alat ganti,” jelas Jebon.