MODEL Isuzu MU-X pertama kali didedahkan pada Tokyo Motor Show 2013. Kemudian model yang berkongsi casis dengan D-Max itu menjengah pasaran tempatan pada 2015. Setelah dua tahun berada di pasaran, tiba masanya model berkenaan melalui proses kitaran produk agar lebih relevan dan segar.

Isuzu Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model Isuzu MU-X 2017 ke pasaran tempatan. Model facelift berkenaan menerima kemas kini pada bahagian dalaman, luaran dan ciri keselamatan dipertingkatkan.

Pada bahagian luaran, MU-X facelift itu tampil elegan dengan fascia baharu. Ia digabungkan dengan lampu depan projektor Bi-LED bersama cahaya spektrum biru dan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Ciri itu dapat menerangi jalan raya dengan terang pada waktu malam dan mengurangkan keletihan pemandu. Ia kemudian digabungkan dengan ciri pelarasan cahaya.

Beralih ke bahagian belakang, rekaan bampar baharu dipadankan dengan lampu kabus baharu. Tidak ketinggalan, lampu belakang juga menerima desain grafik bahagian dalam baharu.

Melengkapkan penambahbaikan luaran itu, Isuzu Malaysia memilih rekaan spoiler dan rim baharu.

Masuk ke kabin, MU-X lebih elegan menerusi kemas kini material lembut dan padanan panel corak kayu pada trim pintu serta papan pemuka. Suasana kabin juga lebih lapang menerusi pilihan warna terang iaitu beige (kuning air).   Bahagian panel meter kini dilengkapi dengan meter terkini e-Lumax (electroluminescent) bersama paparan multi-info (MID).

Pemanduan menjadi lebih seronok menerusi sistem hiburan bersama skrin sentuh DVD lapan inci dan monitor yang boleh dilipat untuk penumpang belakang bagi varian 4x4. Sementara varian 4x2 dilengkapi dengan skrin sentuh DVD 7 inci. Isuzu MU-X juga dilengkapi dengan lapan pembesar suara untuk memberikan sistem audio lebih jelas.  Tidak ketinggalan, kerusi SUV (kenderaan utiliti sport) itu menerima corak terkini bersama balutan kulit.

Demi ketenangan minda pemilik, SUV tujuh kerusi itu dilengkapi dengan enam beg udara berbanding dua beg udara sebelumnya. Versi 2017 turut dilengkapi dengan sistem keyless entry sebagai standard. Ciri keselamatan lain termasuk ABS, Sistem Kawalan Traksi (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), EBD, BA dan HSA.

Menurut Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, hajime Machimura, versi facelift itu mampu memberi kepuasan kepada pengguna yang menginginkan kenderaan dengan perlindungan terbaik.

"Ia mewakili keseimbangan antara kereta aktif tujuh tempat duduk yang tegap dan tahan lasak," jelasnya.

Bahagian mekanikal masih kekal sama yang sama MU-X dijana oleh enjin 2.5 liter VGD turbo intercooler diesel yang mampu manghasilkan kuasa 136PS dan tork 320Nm.

 Harga jualan MU-X ialah RM176, 640.40 bagi varian 2.5L 4x2 manakala RM183,000.40 (2.5L 4x4). Harga berkenaan termasuk insurans dan GST.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LORONG tunai sering menjadi punca kesesakan di plaza tol seluruh negara tetapi semua itu sudah menjadi sejarah.
  • BAGI mereka yang baru mula terjun dalam dunia permotoran, pemilihan jentera dua roda pertama amat penting, tidak kiralah sama ada jentera berkuasa tinggi mahu pun sebaliknya.
  • BERMOTOSIKAL dari Kuala Lumpur ke Kuantan sejauh kira-kira 255 kilometer dan mengambil masa lebih lima jam dalam keadaan hujan sepanjang jalan bukanlah perkara yang mudah.
  • PENGENALAN varian Honda CB500R dan CB500F nyata membuatkan pasaran motosikal berkuasa tinggi tetapi tidak terlalu mahal semakin meriah. Maka tidak hairanlah jika ramai yang mula mempertimbangkan untuk memiliki motosikal ini. Baik untuk kegunaan riadah hujung minggu atau pun dijadikan tunggangan harian.
  • APABILA memiliki sesebuah kenderaan, seringkali sebagai kita mengabaikan aspek penjagaan dan penyelengaraan yang rapi hingga mengakibatkan kerosakan pada kereta yang memerlukan kos membaik pulih yang tinggi.