ISUZU Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan sesi perjumpaan istimewa bersama syarikat pembina badan trak Isuzu pada 13 hingga 14 April, bertempat di Ombak Villa di Langkawi, Kedah. 

Seramai 21 pembina badan trak dari serata negeri menghadiri perjumpaan itu dan sekaligus memberi peluang eksklusif kepada mereka untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kenderaan komersial Isuzu serta informasi terkini mengenai rangkaian produk-produk baharu dan juga yang telah sedia ada. 

Turut hadir Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura, dan Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Komersial, Mikio Tsukui, di samping wakil-wakil dari ibu pejabat Isuzu Malaysia. 

Sesi perjumpaan kali ini bukan sahaja memberi kesempatan kepada Isuzu Malaysia untuk berhubung semula dengan rakan-rakan perniagaan mereka, malah menggalakkan sokongan yang berterusan dan kerjasama yang erat demi usaha untuk perkembangan pasaran di samping menekankan kaedah ‘Isuzu Way’ dalam memastikan tahap kepuasan pelanggan berada di tahap tertinggi. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Koji Nakamura, beliau amat gembira di atas perjumpaan tersebut yang membolehkan Isuzu Malaysia mengekalkan hubungan erat dengan syarikat-syarikat pembina badan trak serta rakan-rakan perniagaan. 

“Sebagai jenama trak paling laris di Malaysia, kejayaan yang diraih oleh Isuzu adalah berdasarkan reputasinya sebagai pengeluar trak yang berkualiti tinggi, boleh dipercayai dan efisien.

Untuk memastikan kedudukan kami sebagai jenama pilihan No. 1 dikekalkan, kami perlu memahami keperluan para pelanggan dengan lebih mendalam. 

“Selain itu, melalui perhubungan erat dengan rakan-rakan perniagaan, kami ingin memastikan kenderaan komersial yang melalui proses modifikasi dan kelengkapan yang sesuai dapat digunakan untuk tujuan-tujuan yang telah disasarkan”, tambah beliau.