PERUSAHAAN Otomobil Nasional Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan terus membekalkan alat ganti bagi model Myvi khususnya untuk model Myvi baharu generasi kedua melalui barisan pengeluaran alat ganti baharunya di Tanjung Malim, Perak.

Dikendalikan oleh vendor Perodua, IQM Sdn. Bhd. di Proton City, Tanjung Malim, kilang itu akan menghasilkan komponen badan seperti penutup enjin, pintu, dapra, panel sesiku dan bumbung.

Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, Takahashi Masanori berkata, demi keselamatan, keselesaan dan ketenangan fikiran pelanggan, pihaknya memberikan komitmen untuk terus mengeluarkan komponen berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan bagi kenderaan Perodua mereka.

“Kami memilih pembekalan luar bagi pengeluaran komponen Myvi generasi kedua kerana kilang pengeluaran kami sudah berada pada kapasiti puncak.

“Sebagai pengeluar komponen Viva sejak pengeluaran model yang berakhir pada 2014, IQM menjadi pilihan yang tepat untuk projek ini,” katanya.

Selain daripada generasi kedua kereta Myvi dan Viva, komponen tulen generasi pertama Myvi, Kelisa dan Kancil akan terus di hasil oleh vendor Malaysia.

Menurut Masanori, masih terdapat ramai pengguna Myvi generasi kedua dengan sebanyak 519,000 buah jenama itu telah dikeluarkan dari Mei 2011 hingga Oktober 2017.

“Buat masa ini, barisan pengeluaran alat ganti di IQM Tanjung Malim menghasilkan komponen badan berikutan permintaan yang tinggi.

“Komponen untuk Myvi generasi kedua terus dihasilkan di PMSB di Rawang, manakala bahagian-bahagian lain dihasilkan oleh pelbagai vendor," jelasnya.