BOON Siew Honda Sdn Bhd telah memperkenalkan Dash 125cc baharu yang mempunyai pakej lengkap serta prestasi lebih baik serta reka bentuk bergaya yang bakal menarik minat pengguna motosikal.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran cub cc besar didapati berkembang pesat, kompetitif dan mencabar berikutan permintaan pelanggan yang kian meningkat.

“Sebagai sebuah syarikat yang komited yang mementingkan kehendak pelanggan, Honda telah menambah baik tawaran model demi memenuhi keperluan penunggang di Malaysia.

“Kami faham akan kehendak dan trend terkini di Malaysia. Oleh itu, kami sangat teruja untuk memperkenalkan Dash 125 baharu yang dijangka menetapkan penanda aras lebih tinggi dalam segmen cub,” katanya.

Dash 125 baharu menerima beberapa naik taraf berbanding model terdahulu iaitu Wave Dash yang mula diperkenal pada tujuh tahun lalu.

Kini ia menggunakan enjin 125cc yang memberikan penunggang tunggangan lebih baik dan berprestasi sekali gus menjadikan Dash 125 baharu ini sebuah motosikal terbaik pada harga berpatutan.