Shin berhabis demi kepuasan

SEKALI pandang pasti tak puas. Setiap kali kelibat Honda Civic ES 1.7 warna hijau Turqoise ini kelihatan di jalan raya pasti akan mengundang perhatian ramai. 

Tapi siapa sangka juga pemilik Honda Civic generasi ketujuh yang tampil dalam ruangan fanatik kali ini adalah milik seorang gadis comel. 

Awin Nazira atau lebih dikenali dengan panggilan Shin Rara dalam kalangan rakan-rakan kereta ini mula meminati dunia modifi kasi pada sekitar 2015.

TIDAK LOKEK

Gadis kecik molek kelahiran Johor Bharu ini sangat meminati dunia permotoran dan tidak lokek berbelanja besar demi kepuasan diri supaya ES kesayangannya tampak cantik dan eksklusif. 

“Kalau wanita lain sanggup berhabis untuk alatan kecantikan, pakaian berjenama dan aksesori, tapi saya berhabis dengan cara saya. 

“Wanita memang suka pandang perkara yang cantik dan saya pula suka serta puas bila melihat kereta kesayangan saya sentiasa kelihatan cantik dan sempurna,” katanya.

SERBA BAHARU

Hingga kini, Shin mengakui sudah berhabis hampir RM40,000 untuk menambah baik kereta kesayangannya. Dari aspek luaran, Shin menggantikan bumper asal dengan bumper ES9 di depan, dan sunroof Jazz GE. 

Bonet depan, spoiler GT dan fender sisi pula mengambil sentuhan custom J’s Racing. Pintu belakang dan lampu HID dikacuk daripada model ES3 serta dipadankan dengan rim sukan Enkei RPF1 bersaiz 16 inci serta tayar Yokohama Ad08 menjadi pilihan Shin. 

Bila diintai di dalam ruang kabin pula, ES shin ini dilengkapkan kerusi bucket, siap dengan tali keledar harness Takata Racing dan pedal Honda Integra DC5. Disusun berderet atas papan pemuka ialah barisan meter Defi BF Advance tiga beradik dan Defi ZD. Fuh memang makan hati lah abang-abang motosport kat luar sana bila tengok interior kereta Shin. Sangat kemas dan cukup sempurna.

PRESTASI ENJIN

Aspek prestasi, enjin asal berkapasiti 1.7L dengan transmisi automatik itu ditukar kepada D17A RS yang datang bersama kotak gear manual. Prestasi enjin turut menerima beberapa sentuhan teknikal daripada bantuan komponen aftermarket Simota, berserta penutup radiator dan pelincir Mugen.

Sistem suspensi diserahkan tugas kepada set penyerap hentak boleh laras Tein SS EP3. Memantapkan lagi keseluruhan tubuh badan Honda Civic ES 1.7, Rara menggunakan beberapa komponen berstatus trek seperti lower arm Function 7 dan bar anti-oleng Integra DC5 Type R. Kuasa hentian menggunakan sistem brek lengkap ES3, termasuk kaliper dan brek cakera yang digigit kemas pad brek berketahanan suhu tinggi.

RASAI KEPUASAN

Hah, siapa kata dunia modifi kasi hanya milik kaum lelaki? Walaupun dimonopoli kaum adam tapi lihat saja jentera Shin Rara. Nampak sama cantik, sama padan dengan tuan punya kereta. Walaupun telah banyak berbelanja untuk jentera kesayangannya, Shin puas setelah berpeluang merangkul 1st runner, ‘the best interior’ pada Honda day malaysia 2016 di Maeps, Serdang.

“Inilah kecintaan saya dalam dunia permotoran, sukar untuk saya gambarkan diri saya berkenaan kereta ini.

“Saya tidak buat semua ini sekali gus tetapi secara berperingkat-peringkat kerana harga aksesori ES ini memang agak mahal dan sukar ditemui,” kata Shin yang akhirnya mengaku masih solo ketika mengakhiri perbualan.