PROTON kini meneruskan semula penghantaran kereta ke Timur Tengah yang merupakan penghantaran pertama dilakukan oleh syarikat sejak mula bekerjasama secara rasmi dengan Geely.

Simbolik majlis pelepasan tersebut telah diadakan di pelabuhan Westports Malaysia dengan barisan kereta-kereta Proton yang telah bersedia untuk dimasukkan ke dalam kapal kargo Grand Diamond.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan eksport tetapi kerjasama dengan Geely telah memperkenalkan kepada kami pola pemikiran berkualiti bersama dengan sistem audit kualiti yang turut diguna pakai oleh Volvo.

“Dengan menggunakan sistem tersebut sebagai rujukan, kami telah berjaya menurunkan mata demerit sebanyak tiga kali ganda kerana kami berhasrat untuk mengeluarkan kereta dengan kualiti yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

Proton turut memanfaatkan operasi rangkaian luar negara Geely untuk meningkatkan keberkesanan kos operasinya sendiri.