PENGHUJUNG tahun lalu, Ducati merupakan antara pengeluar motosikal yang lincah memperkenalkan motor baharu ketika EICMA 2016. Ducati memperkenalkan model Ducati Scrambler pada acara pameran motosikal tersebut. Motor dengan konsep retro-moden itu dihadirkan dalam dua varian, Desert Sled dan Cafe Racer.

Kedua-dua model berkenaan rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan. Sebelum itu, Sinar Turbo ada mengeluarkan imej spyshot model tersebut. Ducati Scrambler Cafe Racer merupakan sebuah motosikal legenda yang berevolusi seiring mengikuti peredaran zaman. Gabungan gaya klasik dan moden begitu seimbang pada sisi luarannya. Rekaan lampu bulat dengan padanan teknologi LED memberi pencahayaan terang pada waktu malam.

Kemasan warna badan Black Coffee mengembalikan semula memori zaman 60-an. Penggayaan cafe racer diserlahkan menerusi pelana balutan kulit berwarna coklat yang kemudiannya dipadankan dengan ekzos perlumbaan hitam bersama peredam aluminium Termignoni.

Penampilan klasik diserlahkan menerusi penggunaan panel digital LCD yang merangkumi informasi speedometer, jarak perjalanan dan jam. Walaupun kelihatan ringkas tetapi masih informatif.

Ducati Scrambler Cafe Racer itu dijana oleh enjin 803cc dengan teknologi L-Twin Desmodromic Distribution. Ia mampu menghasilkan kuasa 55kW dan tork maksimum 68Nm. Penghantaran kuasa ke roda dibantu oleh transmisi 6-kelajuan dengan klac basah APTC Multiple.

Di samping itu, Next Bike Sdn Bhd turut memperkenalkan model Desert Sled untuk kegunaan off road. Kehadiran Desert Sled itu sebenarnya versi tambah baik Ducati Scrambler lama yang dianggap kurang memenuhi kehendak peminat off road.

Desert Sled Pertahan Gaya Klasik Retro

Scrambler Desert Sled masih mempertahankan gaya klasik retro yang dipadukan dengan desain moden. Direka untuk kegunaan lebih lasak, tentunya bahagian lengan ayun, suspensi dan tayar diberi perhatian utama.

Lengan ayun Desert Sled menggunakan material aluminium dengan dimensi lebih panjang. Manakala suspensi depannya lebih besar menggunakan jenama Kayaba berdimensi 46 milimeter (mm).

Selain itu, suspensi depan dan belakang dipadankan dengan travel lebih panjang yang dapat mengatur kelenturannya. Tayar depan bersaiz 19 inci dan belakang 17 inci menggunakan jenama Pirelli yang direka khusus buat off road. Ia digabungkan dengan suspensi fork terbalik boleh laras 46mm di depan dan penyerap hentak Kayaba boleh laras di belakangnya.

Desert Sled dipadankan dengan rangka keluli trellis yang bukan sahaja kukuh tetapi juga menawarkan berat lebih ringan. Rekaan pelana 'dedicated ribbed' dilihat memanjang ke belakang dan tinggi pelana 860mm cukup ideal untuk penunggang dewasa.

Pengendalian jentera itu lebih mudah apabila dipadankan dengan dimensi panjang 2,200 mm, lebar (940mm), tinggi (1213mm), dan jarak roda (1,505mm). Bukan hanya dimensi dilihat begitu ideal, berat jentera juga dirasakan cukup ringan untuk kelasnya dengan angka 207 kilogram.

Soal janakuasa, Desert Sled berkongsi enjin yang sama dengan Cafe Racer. Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia mengumumkan harga Cafe Racer dan Desert Sled ialah RM68, 899 seunit.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.