BERBICARA mengenai Mercedes Benz C- Class pastinya terlintas difikiran jentera mewah empat roda yang sering dibuat perbandingan dengan produk 3 –Series yang lain.

Pesaing C-Class ialah 3-Series yang lain seperti BMW 3 – Serius , Lexus IS250 atau Infiniti Q50 yang memiliki kelebihan tersendiri. Jadi untuk ruangan pandu uji kali ini, penulis ingin berkongsi mengenai Mercedez Benz C-Class C200 AMG yang nyata mengiurkan pada pandangan kali pertama.

C200 ini menyertai barisan model Mercedes-Benz C-Class W205, iaitu C 200 AMG Line dan kini terdapat tiga varian bagi C 200 iaitu Avantgarde, AMG Line dan Exclusive.

SERBA LENGKAP

Model ini memiliki kelengkapan hampir sama dengan C200 Avantgarde tetapi anda ditawarkan kit penuh AMG Line yang termasuk bampar unik, rim aloi AMG 18 inci, roda stereng yang rata di bawah dan suspensi sport dengan tambahan RM1,000. Sedikit kekurangan pula, varian ini tidak dilengkapi dengan bumbung panoramik dan lampu LED adaptif seperti C 250 AMG Line, tetapi diberikan lampu utama LED prestasi tinggi secara standard.

C200 juga dilengkapi kemasan hitam, jam analog, head unit Audio 20 tujuh inci, butang pemula enjin, pengawal suhu dua zon, penghadang cahaya untuk tingkap tepi dan cermin belakang, Parking Pilot dan kamera undur. Kemasan papan pemuka Mercedes-Benz memang ketara, menggunakan bahan-bahan eksotik seperti kayu, kulit dan besi aloi benar-benar membuatkan anda tenggelam di dalam nikmat dunia.

Kereta premium mempunyai lampu kabin bukan lampu di siling yang terhidup bila pintu dibuka, tetapi lampu ambien atau ambient lighting di mana ada lampu LED yang malap menerangi kawasan-kawasan tertentu seperti di tempat kaki, di kulit pintu, di kawasan tombol gear dan sebagainya.

Lampu ambien ini menaikan lagi mood atau perasan seseorang ketika memandu. Ia mempunyai 4 mode pemanduan yang boleh dipilih melalui program Agility Select. Mode tersebut ialah Eco, Sport, Sport +, Comfort dan mode Individual di mana pemandu boleh menghasilkan mode sendiri untuk keselesaan. Jentera dua roda ini yang memperlihatkan kekemasan dalaman dan luaran menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang berkuasa 184 hp pada 5,500 rpm dan 300 Nm tork pada antara 1,200 hingga 4,000 rpm.

IMPAK ENJIN

Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik 9GTronic sembilan kelajuan. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 235 km/j, manakala penggunaan bahan api berada pada antara 5.6 hingga 6.1 l/100 km.

Memilih laluan Lebuh Raya Pantai Timur menuju ke Pahang, C200 memberikan khidmat dan potensi enjin yang memuaskan bagi perjalanan dekat mahupun jauh. Enjin tidak perlu bekerja keras untuk mencapai kuasa ketara selain keselesaan sebagai pemandu mahu pun penumpang dengan tempat duduk yang selesa serta berkualiti tinggi.

Potensi kuasa yang dihamburkan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan begitu memuaskan, mudah dikendalikan dengan reka bentuk stereng yang lebih sporty memperlihatkan penampilannya yang lebih maskulin dan eksekutif. Pilihan mod pemanduan Dynamic Select dan fungsi enjin start/stop datang secara standard banyak membantu penulis dalam seisi pandu uji ini.

Jadi secara keseluruhannya, Mercedes-Benz C 200 AMG ini sebenarnya ialah untuk mereka yang mahukan sebuah sedan segmen premium yang mementingkan citarasa dan keselesaan, bukan pada keghairahan pemanduan laju di selekoh-selekoh. Namun jangan disalah tafsir memberi gambaran pemandu Mercedes-Benz adalah dari golongan berusia sahaja kerana kebanyakan dari mereka memang ada kereta sport di rumah dan C 250 AMG ini dibeli khusus untuk keselesaan dan bentuk yang sangat klasik dan tak jemu mata memandang.