PERNAHKAH anda melalui satu keadaan yang mana minda berfikir di luar dari kebiasaan. Muncul satu idea yang tidak pernah terlintas seperti tidak ada kereta yang lebih baik dengan dua enjin.

Tidak ramai akan terfikir tentang itu. Jadi mengapa pengeluar kereta memaksa jurutera mereka menghasilkan satu teknologi yang membolehkan sebuah kereta menggunakan petrol dan motor elektrik pada masa sama.

Jawapannya ialah ingin mengurangkan pelepasan emisi. Maka wujudlah kenderaan plug in hybrid, elektrik dan hibrid yang lebih mesra alam.  Pertambahan kereta saban tahun menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida yang banyak ke udara.

Jika anda sedar, para saintis menjangkakan bongkah-bongkah ais pada musim panas di Artik akan lenyap di antara 2030 dan 2050 buat pertama kali dalam tempoh 100,000 tahun. Bumi semakin nazak, maka pengeluar mula memikirkan alternatif untuk mengurangkan pelepasan emisi. Dalam tempoh perubahan  atau peralihan ini bongkah ais perlahan-lahan mencair sebelum kita mencapai sasaran mengurangkan pelepasan karbon dioksida. Bak kata pepatah Inggeris  ‘better late than never’.

Cuma, secara peribadi kita terlepas pandang satu perkara. Untuk mengecas semula bateri bervoltan tinggi mengambil masa yang lama berbanding mengisi petrol isian penuh.  Ditambah masih tidak banyak stesen mengecas tersedia di kawasan awam selain anda memerlukan kad akses untuk menggunakan infrastruktur tersebut. Ini merupakan salah satu kekangan dalam mendidik pengguna.

Setiap langkah pertama atau perubahan kepada sesuatu yang baru itu tidak akan terus sempurna. Maka, anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Begitu juga dengan teknologi plug-in hybrid. Mereka perlu mendidik dan meningkatkan kesedaran kepada pengguna.  

Suka atau tidak, kereta elektrik adalah masa depan. Tidak mustahil satu hari nanti Tesla atau General Motors menutup seluruh industri dengan sistem elektrik yang menawarkan perbatuan lebih jauh. Maka pengeluar kereta perlu turut serta jika mahu kekal relevan pada tahun mendatang.

Sistem Motor Elektrik

Sebelum ini, penulis berpeluang memandu model Volvo XC90 T8. Jentera Sweden itu merupakan model plug in hybrid pertama pernah dicuba oleh penulis. Dan..minggu lalu  penulis diberi kesempatan memandu uji BMW 330e M Sport.

BMW 330e M Sport merupakan varian terbaru di bawah lencana BMW 3 Series. Harga model tersebut ialah RM258, 800. Perbezaan sekitar RM10k berbanding 330e Sport. Pakej M sport menawarkan tambahan kit badan lebih sporty dan peralatan.

Apa yang membezakan model kenderaan cekap tenaga ini dengan varian lainnya ialah lencana 330e di belakang dan lencana e-drive pada tiang –C. Jika anda amati pada bahagian fender kiri tersedia satu penutup yang sama seperti penutup tangki minyak. Itu merupakan soket untuk anda mengecas bateri.

BMW 330e dilengkapi enjin empat silinder 2.0 liter B48 TwinPower Turbo. Ia menghasilkan kuasa 184hp dan tork 290Nm. Sementara motor elektrik pula menawarkan kuasa 87hp dan tork 250.

Untuk mod pemanduan, BMW 330e disediakan dengan empat pilihan iaitu Eco Pro, Comfort, Sport dan Sport Plus. Manakala bagi operasi eDrive ditawarkan dengan tiga pilihan pemanduan iaitu Auto eDrive, Max eDrive dan Save Battery.

Dalam mod Auto eDrive, pergerakan kereta dilakukan secara automatik sama ada menggunakan kuasa daripada enjin ataupun motor elektrik. Ini bergantung kepada cara pemanduan dan kapasiti bateri. Mod Max eDrive pula, kereta akan menggunakan kuasa motor elektrik sepenuhnya, sehinggalah pedal minyak ditekan lebih. Manakala Save Battery  menggunakan kuasa enjin sahaja.

Respons enjin berkuasa

Ketika penulis menerima kunci dari pihak BMW Group Malaysia, indikator bateri adalah penuh. Sepanjang pemanduan penulis memilih Auto eDrive dan mod Comfort. Selesai sesi mengambil gambar, jam 6 petang penulis langsung menuju ke Mid Valley untuk makan malam.

Perjalanan pada waktu puncak ditambah hujan renyai  menyebabkan trafik  perlahan sebaik tiba di Kerinchi. Pada keadaan berkenaan, kuasa bateri turun dengan cepat. Hanya tinggal dua bar berbanding lima bar sebelumnya.

Bagaimanapun jarum minyak masih di tahap penuh tanpa sebarang penurunan. Sebelumnya penulis telah melakukan perjalanan dari Cyberjaya menuju ke Shah Alam dan ke Petaling Jaya.

Cuma satu perkara penulis dapati, kadar bateri turun dengan cepat. Walaupun sistem mengecas bateri boleh dilakukan ketika pemanduan menerusi penjanaan brek semula. Tetapi sepanjang perjalanan pulang ke Shah Alam malam itu, penulis tidak melihat sebarang peningkatan pada indikator bateri.

Setelah memandu barulah penulis faham apa yang dikatakan oleh sepupu yang turut memiliki 330e. Ketika bertemu dengannya raya lalu  komen pertama yang dikatakan bateri  begitu cepat turun dan kadang-kala beliau merasakan tidak berbaloi untuk mengecas semula di rumah. Tambahan proses mengecas memakan masa yang lama melebihi tiga jam.

Esoknya penulis memulakan perjalanan pulang ke Slim River dan ketika itu bateri tinggal satu bar. Pemanduan pulang di Lebuh Raya Utara Selatan lebih banyak menggunakan enjin, tetapi pada masa sama motor elektrik turut membantu menjana kuasa jentera apabila diperlukan.

Cuma satu perkara yang penulis dapati, apabila peralihan berlaku iaitu pertukaran kuasa daripada enjin ke motor elektrik atau sebaliknya, tiada gegaran dan operasinya begitu lancar. Sehinggakan kadang kala anda sendiri tidak sedar enjin telah mengambil alih peranan apabila kuasa bateri tidak cukup untuk menggerakkan motor elektrik.

Sebaik tiba di kampung, minyak menunjukkan penurunan. Tetapi masih lagi jimat bagi perjalanan sejauh 150 kilometer (km). Pada sebelah petangnya penulis mula mengecas bateri 330e.

BMW 330e didatangkan dengan pengecas tiga pin untuk  mengecas di rumah. Kebetulan di bahagian beranda rumah penulis tersedia ‘plug’, jadi penulis tidak memerlukan wayar sambungan.

Cuma penulis tidak berani menggunakan kadar mengecas maksimum. Bimbang kabel plug akan menjadi panas. Justeru itu penulis memilih Reduced untuk mengurangkan kepanasan. Turut tersedia pilihan Low. Setelah tiga jam mengecas, penulis memeriksa kapasiti bateri. Hampir penuh yang mana tinggal satu bar sahaja lagi untuk diisi.

Penggunaan motor elektrik sepenuhnya

Petang Ahadnya, penulis membawa ibu membeli pasu bunga. Jarak perjalanan dari rumah menuju ke nursery sekitar 10km menggunakan elektrik sepenuhnya. Penulis tidak keluar dari kenderaan dan enjin tidak dimatikan. Penantian selama 30 minit itu tiada sebarang pembaziran petrol kerana hanya menggunakan bateri yang telah dicas penuh sebelumnya.

Untuk makluman, penggunaan motor elektrik boleh digunakan sejauh 30 hingga 40km dan anda boleh memecut 120 kilometer sejam menggunakan operasi elektrik sepenuhnya. Tentunya ini ideal untuk kegunaan harian terutamanya jika jarak rumah tidak jauh dari pejabat. Ini mengurangkan kos minyak bulanan.

Dari segi pemanduan, 330e tidak jauh berbeza dengan model 3 Series konventional. Ini bermaksud pemanduannya adalah superb. Karakter 3 Series terserlah menerusi casis dan penentu ukuran suspensi.

Tork tersedia dari kelajuan rendah dan hampir berlaku secara langsung daripada keadaan pegun. Kuasa yang tidak dijangka daripada enjin 2.0 liter dan pecutan yang cukup bersemangat. Sebaik anda menekan pendikit lebih ke dalam akan merasakan satu sentapan G-force yang mengujakan. Peralihan transmisi lapan kelajuan automatik juga lancar dan memberi respons yang cepat ke roda belakang.

Bahkan suspensi dari M sport memberikan pengendalian sporty. Ia bertindak dengan baik bagi memastikan kenderaan dapat terus mencengkam dan stabil di selekoh serta pada masa sama kekal selesa untuk semua penumpang. Walaupun talaan suspensi yang dirasakan sedikit keras tidak menghantar begitu banyak drama dalam kabin ketika melalui permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata.

Sementara, stereng BMW dengan kuasa elektrik menawarkan berat yang munasabah mengikut kelajuan dan pasti memuaskan hati ketika melayan selekoh.

Untuk pemanduan harian, BMW 330e selesa, lancar dan cukup senyap terutamanya apabila mod EV beroperasi. Ini yang menjadikan ia lebih seronok dipandu untuk kegunaan harian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSAINGAN dunia automotif sebenarnya begitu kompetitif. Pengguna semakin bijak memilih. Di pasaran Malaysia, sedan segmen-D didominasi oleh jenama Jepun. Kesetiaan pengguna memilih kenderaan dari jenama Jepun tentunya kerana nilai jualan semula yang lebih baik.
  • SEKITAR April lalu,pihak MForce Bike Holdings Sdn Bhd mengesahkan akan memasarkan model scrambler klasik Benelli Leoncino.Akhirnya model berkenaan sah dilancarkan di pasaran tempatan pada harga RM29,678 (termasuk GST) seunit.
  • JIKA sebelum ini penulis berkongsi pengalaman menunggang uji RS200 dan NS200 yang lebih kepada sports serta naked, kali ini pula mengenai kemampuan satu lagi jentera Bajaj iaitu V15 yang dilihat lebih kepada gaya retro.
  • MODEL SUV (kenderaan utiliti sport) CR-V merupakan model pertama yang dipasang tempatan di kilang Honda Malaysia, Melaka pada 2003. Model berkenaan telah beberapa kali melalui kitaran produk. Menerusi gayaan inovatif dan nilai utiliti tinggi, CR-V menarik minat ramai pengguna di Malaysia dengan rekod jualan 68, 000 unit. Bahkan generasi ke-4 yang dilancarkan pada 2013 itu mencatatkan jualan tertinggi iaitu 30, 000 unit sehingga Jun 2017.
  • HUJUNG bulan lalu, Bermaz Motor membawa media automotif ke Kulim, Kedah bagi menyaksikan pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) CX-5 generasi kedua. Lebih menarik kemudahan Inokom Corporation di Kulim itu akan memasarkan model CX-5 baharu ke negara Asean lain antaranya Indonesia, Filipina, Kemboja dan Myanmar.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.