Visor gelap berkualiti rendah sangat bahaya!

RAMAI yang memilih untuk menunggang motosikal bila cuaca dalam keadaan baik untuk mengelak kesesakan trafik mahupun berulang ke tempat kerja. Bahkan kini trend bermotosikal baik superbike, skuter mahupun kapcai sudah menjadi popular.

Tapi bila tiba musim hujan memang buat ramai penunggang motosikal mengeluh. Di Malaysia, musim hujan biasanya berlaku sepanjang tiga bulan akhir setiap hujung tahun, dan kadangkala membawa ke awal tahun.

Jadi apa yang sepatutnya dilakukan adalah sentiasa bersiap sedia secara fizikal dan mental, sentiasa menunggang cermat dan selalu bersabar menerima ujian Tuhan. Minggu ini ruangan Tip Pengguna akan berkongsi berkenaan panduan dan tip-tip utama untuk menunggang motosikal dalam keadaan hujan.

1 PILIH PAKAIAN YANG SESUAI

Sudah tentu pakaian paling asas ialah baju hujan yang perlu sentiasa dibawa bersama sepanjang masa. Penunggang yang bijak semestinya sudah bersiap sedia dengan set pakaian kalis air tidak kira sama ada baju, jaket, but, dan sarung tangan. 

Pakaian harian ketika musim hujan eloklah dipilih daripada material poliester atau sintetik (seperti jersi bola) atau yang kurang campuran kapas (cotton). Ini kerana baju kapas lambat kering berbanding baju poliester. 

Kita sebagai penunggang sendiri tahu betapa sejuk dan kecut saat menunggang selepas hujan reda dalam keadaan baju dan seluar basah. Pakaian poliester juga lebih mudah dicuci seandainya terkena kotoran jalan, dan kurang melekap pada badan.

2 SARUNG HELMET CERAH

Ramai tidak tahu, penunggang motosikal sepatutnya mempunyai dua set helmet. Satu untuk kegunaan normal (reka bentuk bebas), satu lagi dikhaskan untuk tunggangan dalam situasi tertentu seperti hujan dan malam. Helmet jenis kedua sepatutnya memiliki ciri khas seperti berwarna cerah atau memiliki banyak pelekat pantulan cahaya (reflektor).

Malah, visor helmet kedua ini juga sepatutnya jenis cerah atau kosong tanpa digelapkan. Sudah tentu semua ciri itu untuk keselamatan supaya kita mudah dilihat pengguna jalan raya lain, termasuk meningkatkan tahap kejelasan tunggangan. Bayangkan menunggang dalam hujan lebat dan cuaca gelap dengan visor gelap berkualiti rendah. Sangat bahaya!

3 IKAT SAPU TANGAN (KEY/BANDANA ) DI LEHER

Nampak seperti hero Hindustan, tetapi fungsinya adalah untuk mengurangkan kesan kesejukan yang boleh menyebabkan penyakit selesema dan demam, terutama jika anda penunggang jenis kurang vitamin dan alah hujan.

Caranya, ikat saja sapu tangan keliling leher untuk melindungi bahagian kerongkong yang terdedah kepada angin sejuk ketika hujan. Ikatlah sesedap rasa, jangan pula terlampau ketat atau terlalu longgar.

4 TUNGANG JARAK SELAMAT, PERLAHAN DAN CERMAT

Tip ini paling penting jika anda sayangkan nyawa anda. Tunggangan ketika hujan sepatutnya lebih lembut sama ada ketika menukar gear, memulas trotel, membrek atau mengambil selekoh. Kita perlu mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan hadapan dan membrek lebih awal berbanding ketika menunggang dalam situasi normal.

5 SENTIASA BERJAGA -JAGA DI SIMPANG JALAN

Ingat, permukaan jalan selepas hujan sebenarnya lebih licin berbanding cuaca normal kerana ada kesan minyak yang tertinggal. Dari mana datang minyak itu? Datangnya dari pelbagai kenderaan yang bergerak atas jalan, terutama di kawasan persimpangan jalan atau di lampu isyarat kerana minyak lebih kerap menitik atau tumpah ketika berhenti.

Jadi, apabila hujan turun, sisa minyak yang tertumpah itu akan lembap dan mencair, sekali gus menjejaskan traksi tayar motosikal kita. Cuba elak membrek kecemasan secara tiba-tiba di lokasi yang disebut.

Tambahan lagi, jangan lupa selalu perhatikan cermin sisi untuk memantau keadaan kenderaan di belakang yang berisiko menggelincir dan menghentam motosikal anda. Mesti sentiasa berjaga-jaga dan siap sedia dengan sebarang kemungkinan. Menunggang motosikal adalah hobi yang sihat, oleh itu jangan biarkan ianya menjadi punca tangisan orang tersayang.

Seperi apa jua aktiviti lain, sebarang amalan terkawal akan menjamin keselamatan. Tunggang lah dengan cermat dan tajamkan pengalaman anda.