MASIH terlalu awal untuk menilai prestasi keseluruhan The Red Warriors (TRW) ketika saingan Liga Super kini baharu memasuki siri ketiga perlawanan.

Yang pasti, dua kemenangan Kelantan ketika menewaskan Sime Darby FC 2-1 di kandang sendiri dan 1-0 ke atas Sarawak di Kuching mungkin boleh disifatkan bersandarkan kepada nasib semata-mata.

Perjalanan liga masih lagi jauh dan Kelantan sudah pun merasai tempiasnya apabila dimalukan dengan kekalahan tipis 1-2 kepada PKNS FC pada Selasa lalu sekali gus membuktikan Stadium Sultan Muhammad IV tidak lagi kebal buat mereka.


JADI TARUHAN

Tiga gol daripada dua perlawanan meletakkan gandingan Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe sebagai taruhan terbaik juara bertahan Piala FA musim lalu itu bagi mengharungi saingan liga domestik musim ini.

Meski pun pernah bersengketa sebelum ini, namun kedua-dua pemain import sudah melupakan insiden tersebut. Malah, mereka kini tampil lebih profesional dan tidak ada lagi drama perbalahan di atas padang.

Hakikatnya, Mohamad Ghaddar dan Forkey Doe atau dikenali The Predator kini semakin serasi digandingkan bersama selaku penggempur utama sambil kelibat Ahmad Fakri Saarani, penyerang yang pernah dikritik hebat sebelum ini juga sudah menampakkan kematangannya setelah mengharungi musim kedua bersama TRW.


TIMBUL PERSOALAN

Sudah pasti ada perbandingan di antara strategi yang digunakan pasukan ini ketika berada di bawah kendalian Bojan Hodak pada musim lalu dengan percaturan jurulatih baharu, Steve Darby yang menerapkan formasi 3-5-2 pada musim ini.  

Timbul keresahan dan persoalan dalam kalangan penyokong setia Merah Putih itu, sejauh mana keupayaan pemain Kelantan mengadaptasikan formasi tersebut dan sudah ada cakap-cakap kedai kopi yang menuntut perubahan dilakukan andai pasukan ini mahu mara lebih jauh.

Namun, tidak wajar penyokong untuk menyalahkan Tengku Hasbullah Raja Hassan dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria kerana mereka bukanlah pemain bintang seperti Mohd Norfarhan Muhammad atau pun Indra Putra Mahayuddin yang mampu menghadiahkan gol untuk Kelantan pada musim lalu.

Walau apa pun, pengendali dari England itu seharusnya diberi ruang dan masa untuk membuktikan percaturan beliau betul-betul menjadi setelah dipilih Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menggantikan Hodak pada musim ini.

Liga super selepas tiga perlawanan

Kedudukan P M S K Mata
4. Kelantan 3 2 1 0 6

Perlawanan akan datang
> PIALA FA (Pusingan Kedua) - 4 Februari (Selasa) Kelantan lwn Sabah (8.45 mlm / Std Sultan Mohamad IV, Kota Bharu)
> LIGA SUPER - 8 Februari 2014 (Sabtu) Perak lwn Kelantan (8.45 mlm/ Std Perak)