• Trio 'Ismail' pertahan kerusi BN di Pahang Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama pencabarnya, calon PKR Zakaria Abdul Hamid (dua kanan) kelihatan relaks sahaja ketika penamaan calon. - Foto Bernama
1 /

KUANTAN - Trio Ismail', sekali lagi akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.
   
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) manakala Datuk Ismail Abd Muttalib mempertahankan kerusi Parlimen Maran.
   
Ismail Sabri, yang menang dengan majoriti 4,313 undi pada PRU 2008  akan ditentang Zakaria Abdul Hamid dari PKR dan calon Bebas, Mohd Wali Alang Ahmad.
   
Ismail Mohamed, yang menang dengan majoriti 5,265 undi pada 2008, akan ditentang oleh calon Pas, Shahril Azman Abd Halim, manakala Ismail Abd, yang menang dengan majoriti 6,641 undi, akan dicabar oleh Mujibur Rahman Ishak dari Pas.
 
Sementara itu, sejumlah sembilan calon wanita akan bertanding dalam 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pahang.
   
Mereka ialah tiga calon BN - Datuk Maznah Mazlan (Dun Muadzam Shah), Datuk Shahaniza Shamsuddin (Dun Kuala Sentul) dan Nurhidayah Mohamad Shahaimi (Dun Luit).
   
Dua calon PKR ialah Fuziah Salleh (Parlimen Kuantan) dan Murnie Hidayah Anuar (Parlimen Paya Besar), dua calon Bebas, Aishaton Abu Bakar (Parlimen Lipis) dan Dr Cheam May Choo (Dun Tanah Rata), seorang calon DAP D.Kamache (Dun Sabai), dan seorang calon Pas, Nuridah Mohd Salleh (Parlimen Rompin).
   
Bagi 14 Parlimen, Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan lima penjuru, empat Parlimen tiga penjuru (Lipis, Indera Mahkota, Paya Besar dan Bera), selebihnya satu lawan satu.
   
Bagi 42 kerusi Dun di Pahang, sembilan Dun menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 32 Dun satu lawan satu dan satu Dun Damak menyaksikan pentandingan empat penjuru.  - Bernama