JOHOR BAHRU - Warganegara Myanmar maut apabila motosikal dinaiki merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam satu kemalangan di Jalan Alor Bukit, Kulai, malam semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Kin Wo maut disahkan maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai dari arah tol Kulai menuju Kulai telah terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan MP.

“Kemalangan telah berlaku di laluan kenderaan MPV yang datang dari arah Kulai menghala plaza tol,” katanya dalam kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Dzulkhairi berkata, pemandu kenderaan MPV berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa di bawa ke Hospital Kulai untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis juga sedang giat mengesan rakan atau waris kepada si mati untuk tuntutan mayat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.